LONDON: Pengurus Newcastle Rafael Benitez berkata, perbezaan bajet perpindahan pemain punca utama skuadnya tewas kepada West Ham, semalam.

Javier Hernandez yang dibeli pada 2017 dengan harga £16j (RM85 juta) meledak dua gol dan jaringan lewat Felipe Anderson - £36j (RM192 juta) menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut Newcastle. Pasukan pelawat turut mempunyai penyerang bernilai £20j (RM106 juta), Marko Arnautovic yang dibeli musim lalu.

Berbanding Hammers yang membelanjakan hampir £100j (RM533 juta) pada jendela perpindahan sebelum ini, Newcastle mengaut keuntungan £20j (RM106 juta) hasil urusan jual beli pemain.

Benitez berkata: “Mereka membelanjakan wang ke atas pemain serangan dan sekali gus kelebihan buat mereka.”

“Kami cuba melakukannya pada Januari ini tetapi persoalannya adalah wang. Apa yang mereka belanjakan, apa yang kami belanjakan anda dapat lihat di atas padang.”

“Saya tak boleh merungut usaha pemain atau komitmen mereka. Kami mempunyai peluang tetapi mereka yang mendapat gol.”

Kemenangan West Ham di Newcastle itu adalah yang kedua sejak 1998 dan membolehkan mereka melonjak ke tangga ke-13 dengan 15 mata manakala Newcastle jatuh ke tangga ke-14 dengan 12 mata.

20180212