Pada waktu Subuh tadi kami dikejutkan oleh berita kematian kawan kepada ayah Mommy pada jam 12 tengah malam 19 Januari 2019.
Karangan ini terbahagi kepada:Bergegas ke Abdullah Hukum, Van Jenazah sudah menunggu, Adab Melawat Jenazah, Kaifiyat Solat Jenazah, Kos Pengkebumian RM 850 di Kerinchi.
Bergegas ke Abdullah Hukum
Oleh itu kami segera bergegas ke Kuala Lumpur untuk menziarahi jenazah. Destinasi pertama kami adalah rumah flat Abdullah Hukum untuk menjemput seorang lagi kawan Mommy yang tinggal di sana.
Mommy sempat beli nasi lemak dan kuih-muih untuk alas perut, kami makan di dalam kereta sahaja sementara menanti kawan Mommy siap.
Malangnya kawan Mommy itu terkunci dalam rumah kerana beliau mengunci bilik sedangkan kunci pintu rumah ada dalam bilik.
Perisitiwa: Ayah kawan Mummy meninggal dunia pada jam 12 malam 19 Jan 2019.
Bila: 2019-01-20 jam 09:54 hari Ahad
Lokasi: Perumahan Awam DBKL Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
Van Jenazah sudah menunggu
Kami meneruskan perjalanan ke destinasi sebenar iaitu rumah flat Perumahan Awam DBKL Kampung Kerinchi. Kami dibenarkan meletakkan kereta di mana-mana sahaja petak kosong. Kelihatan van jenazah atau kereta jenazah sudah sedia menanti.
Perkara pertama Mommy lakukan apabila tiba di surau yang menempatkan jenzah adalah melawat jenazah, manakala Master pula mengambil wudhu untuk tunaikan solat jenazah, tetapi kemudian Master mendapati bahawa jenazah belum dimandikan dan dikapankan.
Master tidak tahu nak buat apa? Nak pergi melihat jenazah, Master bukannya sanak-saudara. Nak duduk di luar main telefon pintar? Macam tak kena pula.
Akhirnya Master men-Google untuk mencari apakah yang boleh dilakukan semasa melawat jenazah? Berikut adalah hasil carian Master yang Master rasa praktikal.
Adab Melawat Jenazah
- Jangan bergurau senda.
- Ucapkan takziah kepada keluarga dan doakan yang baik-baik.
- Bacakan surah Yassin atau baca al-Quran kepada jenazah dan doakan jenazah.
- Dermakan duit untuk ringankan beban keluarga.
- Bantu apa yang patut.
- Jangan menyusahkan keluarga jenazah dengan makan dan minum kecuali jika ia disediakan oleh orang lain seperti jiran-jiran.
Master pun pergi duduk sebelah si mati dan bacakan Yassin, tapi tidak lama kerana ada orang yang datang nak memandikan jenazah.
Master pergi menunggu di luar dan menolong angkat keranda, nak tolong benda-benda lain, macam tak cukup ilmu pula.
Kaifiyat Solat Jenazah
Kemudian setelah jenazah selesai dimandikan dan dikapan, tibalah masanya untuk solat jenazah.
Solat jenazah adalah solat ringkas yang hanya dilakukan dengan 4 kali takbir, tiada rukuk, itidal, sujud, duduk di antara dua sujud, duduk tahiyat seperti solat biasa. Hukum solat jenazah adalah fardhu kifayah.
Ia cuma dilakukan seperti berikut:
- Berdiri tegak rapat-rapat, tak perlu jarak macam solat biasa.
- Niat solat jenazah.
- Takbir pertama diikuti dengan bacaan surah al-Fatihah.
- Takbir kedua diikuti dengan bacaan selawat.
- Takbir ketiga diikuti dengan doa buat si mati.
- Takbir keempat diikuti dengan salam. Boleh berhenti sejenak selepas takbir sebelum memberi salam. Beri salam sama macam biasa cuma dilakukan semasa berdiri.
Kos Pengkebumian RM 850 di Kerinchi
Sementara menanti jenazah siap dimandikan dan dikapankan, Master sempat mendengar perbualan orang tua-tua berkenaan kos pengkebumian di Kerinchi yang dah mencecah RM 850 (lapan ratus lima puluh Ringgit Malaysia sahaja).
Ini bermaksud apabila ada kematian kena ada modal sekurang-kurangnya RM 1000.
Tetapi sebenarnya ada tabung khairat kematian mengikut kariah, di mana bagi Bandar Baru Salak Tinggi bayarannya adalah RM 30. Mungkin orang ramai mengabaikan yuran khairat kematian ni kerana menganggap pengkebumian jenazah adalah fardhu kifayah, jadi kenapa nak kena bayar?
Hal itu benar, tapi nak sediakan kubur tu pun perlukan kos jadi memang kena bayarlah kan. Bayar tabung khairat tu walaupun kita tak guna sebab kita belum mati, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang memerlukannya.
Ia sudah kira sedekah dan ibadah sebab membantu dalam urusan kebajikan.
Kita nak mandikan, kafankan jenazah mungkin tunggu bulan jatuh ke riba, angkat keranda pun harap orang tua-tua sahaja, anak muda entah ke mana batang hidungnya, jadi mungkin tabungan khairat ni akan berikan kita sedikit saham membantu uruskan jenazah saudara muslim.
Wallahu'alam.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.