HASRAT Kedah untuk kembali merampas pendahulu Liga Super 2019 daripada JDT tidak kesampaian apabila seri 0-0 dengan PKNS FC di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Lang Merah kini jatuh ke tangga ketiga berkongsi 11 mata sama dengan Pahang di tangga kedua manakala Harimau Selatan gah di persada dengan 13 mata.

Pada perlawanan tersebut, Gabriel Guerra hampir meletakkan pelawat di hadapan seawal minit ke-7 namun rembatannya berjaya ditampan keluar pertahanan Kedah, Renan Alves.

Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali (kiri) cuba memberi saingan kepada Faizat yang cuba mengucar-gacirkan barisan pertahanan Lang Merah.
Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali (kiri) cuba memberi saingan kepada Faizat yang cuba mengucar-gacirkan barisan pertahanan Lang Merah.

Pada minit ke-24, Fernando Ortega menguji gawang gol PKNS FC dari luar kotak penalti namun penjaga golnya, Muhd Zarif Irfan Hashimuddin telah bersedia lebih awal dengan menepisnya.

Pelawat berpeluang cerah untuk berada di hadapan selang lima minit kemudian menerusi Faizat Ghazli melalui satu serangan balas namun percubaan sedikit tersasar walaupun penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim sudahpun tertewas.

Tuan rumah memberi nafas baharu kepada jentera serangannya apabila membawa masuk Anmar Fares AlMubaraki mengantikan Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-57.

Rombakan tersebut dilakukan selepas melihat disiplin tinggi barisan pertahanan The Ants dan percaturan hampir berhasil menerusi tolakan Jonathan Ortega pada minit ke-63 namun terkena palang gol pasukan lawan.

Lang Merah terus meningkatkan tempo serangan bertali arus ke kubu PKNS FC namun pada minit ke-85, Kedah beraksi dengan 10 orang selepas Renan dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan, Faizat.

Bagaimanapun keputusan tersebut kekal tanpa jaringan sehingga ke wisel penamat.


Sumber: Sinar Harian, WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

FOTO: AHMAD ZAKI

02 Mar 2019