Lagu bertajuk Kemuliaan Ramadhan ini adalah dendangan kumpulan nasyid (munsyid) In-Team dengan penampilan kumpulan UNIC dari Malaysia.

Kedua-dua kumpulan nasyid Malaysia ini adalah kumpulan abang adik di bawah naungan Hijjaz Records Sdn Bhd pada masa nasyid Kemuliaan Ramadhan ini dikeluarkan.

Nasyid Kemuliaan Ramadhan adalah sebuah lagu yang catchy membuatkan ia tidak jemu didengari namun pada masa yang sama memuatkan bait-bait yang indah bermakna yang menggulung tazkirah-tazkirah umum mengenai Ramadhan. Makna liriknya sangat tepat dan mudah difahami, tetapi jika seseorang itu mempunyai ilmu mendalam mengenai Ramadhan, dia akan dapat merungkai makna lagu Kemuliaan Ramadhan ini dengan lebih teliti.

Mendengarnya menjadikan kita bersemangat untuk menempuhi bulan Ramadhan.


Lirik lagu Kemuliaan Ramadhan

Ramadhan bulan ibadah
Bulan kerahmatan dan keampunan
Para malaikat merendahkan sayap
Untuk menghitung pahala berganda

Ramadhan bulan berpuasa
Bulan kesabaran dan keinsafan
Lapar dahaga mendidik jiwa
Menundukkan nafsu
Mengawal indera

Pintu syurga dibukakan
Ditutup pintu neraka
Dibelenggu syaitan yang durjana
Dihentikan azab di pusara

Bersyukurlah pada rahmat-Nya
(Ya Ramadhan)
Dikurnia bulan yang mulia
(Ya Ramadhan)
Beruntunglah bagi mereka
(Ya Ramadhan)
Yang mendapat keberkatannya
(Ya Ramadhan)

Tiap satu pahala ibadah
Tujuh puluh ia digandakan
10 akhir Ramadhan dikurniakan Lailatul Qadar
Malam yang terbaik diumpamakan seribu bulan

Ramadhan bulan ibadah
Bulan kerahmatan dan keampunan
Para malaikat merendahkan sayap
Untuk menghitung pahala berganda

Sollallahu 'ala Muhammad
Sollallahu 'alaihi wassalam

Sollallahu 'ala Muhammad
Sollallahu 'alaihi wassalam
Ya Rasulullah

Pintu syurga dibukakan
Ditutup pintu neraka
Dibelenggu syaitan yang durjana
Dihentikan azab di pusara

Tiap satu pahala ibadah
Tujuh puluh ia digandakan
10 akhir Ramadhan dikurniakan Lailatul Qadar
Malam yang terbaik diumpamakan seribu bulan

Ramadhan bulan ibadah
Bulan kerahmatan dan keampunan
Para malaikat merendahkan sayap
Untuk menghitung pahala berganda


Ramadhan bulan ibadah, bulan kerahmatan, bulan keampunan

Bulan Ramadhan dibahagikan kepada 3 fasa. Kalau ikut pandangan Tedi, 3 fasa dalam 30 hari (sebulan) bermaksud 1 fasa itu 10 hari. Tapi ada juga yang ikut minggu.

10 hari pertama adalah fasa ibadah, bermakna bukanlah 10 hari ni sahaja kita beribadah, tetapi mungkin fasa awal menjinakkan orang biasa-biasa dengan ibadah. Orang luar biasa, sebelum Ramadhan dia dah bersiap dah lunak dengan ibadah, dalam bulan Ramadhan, dia cuma perlu pecut je, orang biasa-biasa pada masa inilah nak mula berlatih ibadah.

10 hari kedua adalah di mana kerahmatan diturunkan. Tedi berpendapat Rahmat ini adalah untuk mereka yang lulus dalam fasa pertama, iaitu mereka yang setelah belajar beribadah, konsisten dan berdisiplin melaksanakannya sehinggakan hatinya merindui Allah. Tetapi kita harus ingat bahawa Rahmat Allah itu luas, mungkin seseorang itu tidak sewarak mana tapi berkat keikhlasannya, dia dirahmati Allah.

10 hari terakhir adalah bulan keampunan, di mana sepatutnya pada masa ini kita mendapat keampunan Allah. Maksudnya pada masa ini kita harus lebih bersungguh-sungguh mengharapkan keampunan, setelah berlatih dalam 20 hari sebelumnya.

Dalam 10 malam terakhir itu juga diturunkan Lailatul Qadar di mana ibadah manusia digandakan 1000 bulan atau 80 tahun. Malam ini adalah satu rahmat kerana umat Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam umurnya pendek tidak seperti umat sebelum mereka.

Lapar dahaga mendidik jiwa, menundukkan nafsu, mengawal indera

Salah satu cara untuk melemahkan nafsu adalah dengan berpuasa, apabila nafsu dapat ditundukkan, sekaligus kita mudah mengawal anggota badan kita daripada melakukan maksiat.

Sollallahu 'ala Muhammad, Sollallahu 'alaihi wassalam

Mungkin ramai yang sangka bahawa kalimah selawat ini sekadar untuk menambah rencah menyedapkan lagu Kemuliaan Ramadhan ini, tetapi sebenarnya tidak!

Salah satu ibadah yang digalakkan dalam bulan Ramadhan adalah berselawat ke atas Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam.

Dibelenggu syaitan laknatullah yang durjana

Pada bulan Ramadhan, syaitan laknatullah dibelenggu. Ramai orang berkata ketiadaan syaitan laknatullah inilah yang menjauhkan kita daripada maksiat dan dosa. Namun pada masa yang sama ia juga menunjukkan bahawa tanpa syaitan laknatullah kita masih boleh berbuat dosa, kerana manusia masih ada nafsu.

Jadi ia mengingatkan manusia, jangan menuding jari kepada syaitan laknatullah apabila melakukan dosa.