Master dilahirkan di daerah Marang di negeri Terengganu, salah sebuah negeri di Pantai Timur di Semenanjung Malaysia. Sebagai anak kelahiran negeri penyu bertelur itu, Master membesar dengan dendangan satu lagu rakyat yang popular iaitu lagu Ulek Mayang.

Kiriman ini akan cuba menyelusuri tentang lagu Ulik Mayang demi menjawab persoalan Master mengenai lagu ini.

Kandungan: Maksud Ulek Mayang? | Lirik asal Ulek Mayang telah diubah? | Siapakah puteri 7 beradik itu?Lirik Ulek Mayang yang selalu ditemui | Lirik Ulek Mayang Puteri Bertujuh | Lirik Ulik Mayang Puteri Berbaju Hijau | Maksud Ngesa | Pakaian Ulek MayangKesimpulan | Rujukan

gambar ulek mayang lagu rakyat Terengganu dengan gambar dua buah perahu di tepi pantai berlatarbelakang langit biru saujana mata memandang.
Gambar Ulek Mayang lagu rakyat Terengganu dengan gambar dua buah perahu di tepi pantai berlatarbelakang langit biru saujana mata memandang

Lagu Ulek Mayang ini mengikut cerita Tokki pada masa lalu dimainkan di pantai di Negeri Terengganu pada masa pesta pantai pada suatu masa dahulu. Ia popular dengan satu lagi persembahan iaitu Main Puteri. Kedua-duanya dikatakan adalah satu ritual pemujaan "semangat" laut supaya para nelayan selamat ketika mencari rezeki di lautan.

Namun kedua-duanya telah luput ditelan zaman dengan kebangkitan pengetahuan dan kesedaran iman. Perbuatan memuja seperti itu adalah satu perbuatan khurafat kerana kita percaya adanya kuasa lain selain Allah Subhanhu wa Ta'ala yang berkuasa atas kehidupan kita. Sepatutnya kita hanya memohon perlindungan Allah kerana hanya Dia yang berkuasa atas setiap sesuatu.

Tedi berasakan bahawa lagu ini sebenarnya dimainkan di Pesta Pantai itu hanya sebagai hiburan, almaklumlah manusia memang suka dengan hiburan sebegini.

Akhirnya lagu Ulek Mayang ini muncul kembali, hanya sebagai kesinambungan budaya.

Kini Master memainkan pula dendangan lagu Ulek Mayang tersebut buat kami. Tetapi ada sesuatu yang menggusarkan Master, dendangan lagu Ulek Mayang pada zaman sekarang dikatakannya tidak sama dengan apa yang didengarinya pada masa dia kecil dahulu.

Oleh itu Master minta pertolongan Tedi untuk mecari jika ada lirik original lagu Ulek Mayang ni.

<kembali ke atas>

Maksud Ulek Mayang?

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ejaan sebenar ialah "ulik mayang" dan maksud ulik mayang persembahan tradisional dlm bentuk tarian, nyanyian, dan lakonan.

Ejaan "ulik" dalam tulisan Jawi ialah اوليق

Tetapi ejaan yang popular dalam internet ialah Ulek Mayang.

Mengikut ensiklopedia bertajuk Ulek Mayang pula ada menyebut: ULIK MAYANG, tarian tradisional rakyat yang terdapat di negeri Terengganu dan Pahang.
Di negeri Pahang tarian ini lebih dikenali dengan nama ugam mayang. Ulik dan ugam membawa makna mengasyikkan sehingga kadang-kadang menjadi lupa ingatan.

Beberapa tajuk rencana akhbar berkenaan Ulik Mayang:

Judul Pengarang Akhbar Keluaran
Ulik mayang subur kembali Tiada Utusan Melayu 03.01.1997
Ulik Mayang: nelayan yang pengsan dipulihkan dengan memanggil semangat Mayang Pinang Puteri Tujuh Tiada Harian Metro 16.09.1992
Ulik Mayang memuja tahyul? Shamsir H. M Bacaria 18.05.1994
'Ulik Mayang' berjaya pikat hati warga kota Tiada Utusan Malaysia 29.09.1989
Ulik Mayang: nelayan yang pengsan dipulihkan dengan memanggil Semangat Mayang Pinang Puteri Tujuh. Tiada Harian Metro 09.09.1992
Tarian Ulik Mayang mempesonakan 1,000 penonton Tiada Utusan Melayu 21.10.1994

Tetapi pada tahun 1980-an banyak pula ejaan dalam rencana akhbar menggunakan ejaan "Ulit Mayang".

Judul Pengarang Akhbar Keluaran
Ulit Mayang: unsur kebajikan masyarakat Melayu  Imlan Adabi  Bacaria  12.03.1988
Ulit Mayang: dahulu satu cara perubatan bomoh..  Jamaluddin Yacob  Berita Harian  19.01.1985
Tradisi Ulit Mayang hidup kembali  Ina Yt Majid  Berita Harian  06.06.1987
Kisah Ulit Mayang dipentaskan bulan depan  Tiada  Berita Harian  23.10.1985

Begitu juga beberapa tajuk rencana majalah:

Judul Pengarang Majalah Keluaran
Tarian Ulit Mayang  Tiada  Dewan Budaya  1 August 1979
Usaha mengekalkan tradisi lisan
[Ulasan buku "Ulit Mayang: kumpulan Mantera Melayu" oleh Haron Daud]
 Hassan Alias  Dewan Sastera  1 February 2005

 

<kembali ke atas>

Lirik asal Ulek Mayang telah diubah?

Kembara Tedi di dunia maya menemui beberapa kenyataan (atau pendapat) bahawa lirik lagu Ulek Mayang asli ini telah diubah untuk mengelakkan sesuatu perkara buruk daripada berlaku, kerana dikatakan lirik asal Ulek Mayang mampu menjemput "sesuatu yang tidak baik".

Ada yang menyatakan takut khurafat kerana lirik lagu ulek mayang yang sebenar berunsurkan pemujaan.

  Ada yang menyatakan bahawa warna asal selendang adalah hijau dan kini ditukar kepada selendang kuning semuanya. Kenyataan ini agak menepati apa yang dikatakan Master kepada Tedi,

kesemua pakaian puteri Ulek Mayang dalam lirik lagu Ulek Mayang original tu sebenarnya berlainan

Fakta ini yang Tedi cuba cari, paling kurang pun cukuplah kalau dapat jumpa tuan puteri tu pakai pakaian berbeza berbanding puteri-puteri yang awal "turun", logiknya tuan takkan pakai pakaian serupa, mestilah berbeza kan untuk tunjukkan kehebatannya.

Tetapi ada pula hujah bahawa warna selendang itu adalah sebagai tanda lokasi di mana lagu ini dimainkan. Jika penduduk pesisir pantai, puterinya berselendang kuning (mungkin menunjukkan warna pasir pantai), dan jika penduduk di kawasan pedalaman, puterinya memakai selendang hijau sesuai dengan warna hutan.

Barulah Tedi faham kenapa ada versi nelayan pergi laut dan versi orang kampung main sepak raga yang dirasuk oleh puteri.

Lirik asal ini dikatakan takkan dapat ditemui kerana hanya orang yang biasa dengan persembahan Makyong sahaja tahu pasal lirik asal ni. Kenyataan ini agak memeningkan Tedi kerana setahu Tedi, Makyong adalah satu lagi persembahan pemujaan yang popular di Negeri Kelantan. Apa pula kaitannya dengan Ulek Mayang?

<kembali ke atas>

Siapakah puteri 7 beradik itu?

Siapa tanya tu? Berani tanya... Tedi pun beranikah nak jawab? Hihihi...

Erm... menurut pendapat kebanyakan puteri-puteri itu adalah "semangat" laut atau "semangat" hutan. Apakah benda "semangat" tu? Selalu Tedi panggil saka je. Orang lama-lama panggil makhluk halus.

Benda yang dipuja-puja ni memang tak baiklah kan?

Ada juga yang secara berani mendakwa puteri-puteri itu adalah puteri bunian 7 beradik. Persoalannya apa benda pula bunian tu? Malas pula Tedi nak kaji malam-malam ni karang Google keluar gambar pelik-pelik pula.

Tetapi mungkin pada zaman ini mereka takkan digelar puteri bunian, sebaliknya mereka akan digelar adiwira atau superhero. Kalau cantik mesti boleh laku punya. Paling kurang pun boleh digelar X-Man.

<kembali ke atas>

 

Lirik Ulek Mayang yang selalu ditemui

Orang kata dalam versi baru ni puteri 1, 3, dan 5 tidak disebut kerana akan mengundang padah, begitu juga warna pakaian semuanya telah ditukarkan kepada kuning sahaja.

Tapi Tedi syak bahawa lirik ini ditukar bukan sebab itu, sebaliknya nak pendekkan lagu ni supaya orang tak bosan. Maklum sahajalah nak ulang benda sama untuk 7 puteri, memang nak muntahlah kan kita mendengarnya? Tetapi mungkin pada zaman dahulu memang panjang supaya habis satu malam tu dengan persembahan Ulek Mayang ni sahaja.

Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat

Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam

Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

<kembali ke atas>

Lirik Ulek Mayang Puteri Bertujuh

Ini salah satu lirik yang agak berbeza daripada yang Tedi selalu jumpa, dan ia menunjukkan perbezaan pakaian pada puteri-puteri itu, di mana ada yang berbaju serong dan bersanggul lentang, bersubang gading dan berselendang kuning, manakala tuan puteri pula memakai kesemua pakaian tersebut.

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya satu

Puteri satu berbaju serong
Puteri satu bersanggul lentang
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tiga
Puteri tiga berbaju serong
Puteri tiga bersanggul lentang
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya lima

Puteri lima berbaju serong
Puteri lima bersanggul lentang
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala

Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh
Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggul lentang
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning

Umbok mayang ku umbuk
Umbok dengan jala jemala
Ulek mayang kuulek
Ulek dengan tuannya puteri

Kutahu asal usulmu
Yang darat balik kedarat
Yang laut balik ke laut
Pulih balik sediakala 

<kembali ke atas>

Lirik Ulik Mayang Puteri Berbaju Hijau

Ini pula adalah bait-bait lirik lagu Ulek Mayang dengan puterinya berbaju hijau. Tedi pendekkan sahaja, kalian sambunglah sendiri seperti bait-bait lirik di atas.

Umbuk mayang diumbuk
Umbuk dengan jala jemala
Sambut dayang kusambut
Sambut dengan puteri ngesa

Puteri ngesa berkain serong
Puteri ngesa berbaju hijau
Puteri ngesa bersubang gading
Puteri ngesa bersanggol sendeng

<kembali ke atas>

Maksud Ngesa

Tedi tak jumpa pula maksud ngesa dalam Bahasa Melayu. Mungkinkah maksudnya satu?

Jika dicari secara membabi-buta pula Tedi menemui beberapa maksud:

  1. Laman ngesa: meaning, origin, definition - WordSense Dictionary mengatakan ngesa adalah perkataan daripada Bahasa Fula yang bermaksud ladang atau pengusahaan tanah untuk pertanian.

 

Pakaian Ulek Mayang

Kostum penari Ulek Mayang mempunyai dua jenis pakaian.

Enam dari tujuh penari wanita biasanya akan mengenakan pakaian puteri Ulek Mayang tradisional seperti songket lengan panjang (baju daripada bahan sutera), selendang (selendang panjang) yang dipakai di pinggang, sanggul (alat perhiasan di rambut), subang (perhiasan di telinga) dan kain songket panjang di bahagian bawah badan serta beberapa aksesori lain.

Watak utama penari yang bermain sebagai Tuan Puteri atau Puteri Tujuh akan menggunakan pakaian dan aksesori yang sama seperti enam penari yang lainnya tetapi yang berbeza adalah dia akan memakai baju songket berlengan pendek dan warna bajunya juga adalah berbeza. Biasanya dia akan memakai baju berwarna kuning. Ini untuk menggambarkan bahawa dia adalah puteri utama penari.

Sementara para penari lelaki mereka akan memakai baju tradisional lelaki Melayu seperti Baju Melayu. Tetapi ada juga pada zaman moden ini memakaikan para penari lelaki dengan kemeja tanpa kolar berwarna putih atau Tedi selalu panggil t-shirt pagoda.

 

Kesimpulan

Akhirnya Tedi persembahkan hasil kajian Ulek Mayang ini kepada Master dan dia masih tidak berpuas hati. Katanya tiap puteri tu memakai aksesori pakaian yang berbeza.

Erm... Tak mampu Tedi mencari apa yang Master mahukan tu. Cukuplah sampai di sini pada masa ini.

Rujukan

  1. https://ceriteradimensi.blogspot.com/2013/01/misteri-tarian-ulik-mayang.html
  2. https://youngredwarriors.blogspot.com/2015/10/puteri-bertujuh.html : lirik Ulek Mayang Puteri Bertujuh
  3. https://pdfslide.net/documents/tarian-ulik-mayang.html
  4. Ulek mayang - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

<kembali ke atas>


Artikel ini pertama kali diterbitkan pada 20200202, dikemaskini pada 20200515 (subseksyen: Siapakah puteri 7 beradik itu?). Kemaskini 20210818 subseksyen: Maksud Ulek Mayang?, Pakaian Ulek Mayang.
Ini adalah kajian sendiri dan pendapat sendiri. Mungkin ada sedikit bias atau mungkin ada fakta mengarut. Jika ada pembetulan boleh komen di bawah. \(^^,)/