Tedi baru sahaja mendengar nasyid Iman Mutiara 2019 melalui link YouTube Iman Mutiara 2019 nyanyian Nazrey Johani (kalau kawan-kawan melawat laman YouTube tu, layanlah ye iklan sekali mana tahu hasilnya akan membantu Nazrey yang membuka maahad tahfiz), memang menyentuh jiwa. Seperti biasa Tedi akan abadikan lirik dan maklumat berkenaan lagu Iman Mutiara ini.
Menurut Master, nasyid Iman Mutiara ni dah lama iaitu mula diterbitkan pada tahun 2007, ia dinyanyikan oleh kumpulan Raihan di mana Nazrey Johani adalah vokalis utamanya. Nasyid Iman Mutiara ini terkandung dalam album Puji-pujian yang mencatat rekod album paling lari di Malaysia. Bermula dari album ini, nasyid kontemporari Malaysia menikmati zaman kegemilangannya.
Penulis lirik Iman Mutiara adalah Nazrey Johani dan hakcipta dipegang oleh Warner Chappell Music, Inc.
Tedi telah mendengar versi Iman Mutiara 2007 dan Iman Mutiara 2019 dan Tedi dapati versi Raihan lebih ceria dan rancak, manakala versi Nazrey Johani lebih syahdu.
Lirik lagu "Iman Mutiara"
Iman adalah mutiara
Di dalam hati manusia
Yang meyakini Allah
Maha Esa, Maha Kuasa
Tanpamu iman bagaimanalah
Merasa diri hamba pada-Nya
Tanpamu iman bagaimanalah
Menjadi hamba Allah yang bertaqwa
Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual-beli
Ia tiada di tepian pantai
Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau berentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah
Jika tidak kembali pada Allah
Komen Nazrey Johani mengenai Iman Mutiara
Nazrey kata lagu ini dihasilkannya daripada pengalamannya sendiri sebagai seorang Kristian yang kemudiannya mengenali iman dan memeluk Islam.
Jadi tidak hairanlah lirik-lirik dalam lagu ini seperti "iman tak dapat diwarisi" kerana semasa dia masuk Islam dia bersendirian dan tidak mewarisinya daripada siapa-siapa.
Begitu juga seperti "walau apa pun caranya jua" - kerana Nazrey Johani ni memang agak sukar menerima Islam pada awalnya dan boleh kata tak mudah untuk dia masuk Islam.
Kalau nak kaitkan dengan lagu ni kena baca macam mana sejarah hidup dia. Mungkin Tedi boleh cari untuk disertakan di sini.
Komen Tedi mengenai lirik Iman Mutiara
Lagu ini menggunakan mutiara sebagai metafora menggambarkan betapa berharganya iman. Iman adalah mutiara dalam hati menunjukkan ia terbenam dalam di lubuk hati manusia, dan mutiara ini takkan terbentuk kecuali hanya dengan keyakinan bahawa Allah itu Maha Esa dan Maha Kuasa.
Tanpa kehadiran iman, manusia tidak akan berasa dirinya hamba kepada Allah, dan tanpa iman, mustahil memperolehi ketaqwaan.
Iman tak dapat diwarisi daripada seorang ayah yang bertaqwa menunjukkan iman ni bukan senang diperolehi, keturunan baik belum tentu menjamin keimanan, keturunan jahat pula tidak bermakna tiada peluang beriman, semuanya adalah terletak pada individu itu sendiri. Tetapi ayah yang beriman mungkin sahaja memudahkannya membentuk anak yang beriman.
Iman tak dapat dijual beli pula menunjukkan iman ni bukan milik orang kaya.
Ia tiada di tepian pantai - agak mengelirukan maksudnya, mungkin menggambarkan mutiara yang takkan dijumpa di tepi pantai, iaitu tidak mudah dicari.
Iman ni tak dapat dicari walau di tempat tinggi atau merentas lautan api - menunjukkan walau segigih mana kita mencari keimanan, kita takkan mampu memilikinya jika kita tidak kembali kepada Allah.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.