Pada waktu Maghrib tadi...

Master meletakkan Aidan di ruang tamu bersama-sama kakaknya si Aina selepas memandikannya dan memakaikannya baju.

Kemudian Master masuk semula ke dalam bilik untuk menyambung kerjanya yang tidak keputusan sementara bekerja di rumah sempena Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Mummy pula sedang sibuk memasak kek di dapur.

Tidak lama kemudian Aina sibuk menangis, sebut susu. Kebiasaannya ada dua iaitu dia nak susu, atau Aidan rampas botol susunya.

Master pun pergi menjenguk Aina.

Ketika itulah Master perasan tiada kelibat Aidan. Tapi Master tak ralat sebab Aidan mesti ada di beberapa tempat seperti di pintu masuk (penjuru kiri depan), belakang penapis udara Cuckoo (penjuru kanan depan), stor bawah tangga (penjuru kiri belakang), atau di rak barang (penjuru kanan belakang). Keempat-empat penjuru ni memang kegemaran Aidan mungkin sebab ia tersorok.

Master carilah di sana, tapi tiada! Master panggil Aidan, tapi tiada sahutan.

Master periksa pintu depan mana tahu tak berkunci dan ada orang masuk culik Aidan, walaupun amat mustahil, namun pintu terkunci rapi.

Master periksa di dapur mana tahu Mummy ambil Aidan, walaupun mustahil sebab Mummy tak bergerak dari dapur.

Akhirnya Master cuba cari Aidan di tingkat atas, walaupun amat mustahil sebab Aidan tak pernah tunjuk bakat atau minat naik tangga.

Nah, Aidan ada di atas sedang bermain seorang diri... ish ish ish... sejak bila pula bayi lelaki berusia 10 bulan 9 hari ni pandai panjat tangga ke tingkat dua?

Nasib baiklah dia tidak jatuh dari celah-celah palang tangga yang agak jarang itu.


20200408