Sedih melihat bola sepak Malaysia ni, sudah tahap profesional tetapi masih bermasalah kewangan. Bagaimana mereka merancang dengan wang yang belum tentu ada?

Seharusnya persatuan bola sepak di Malaysia sudah pandai uruskan kewangan, nama pun profesional, bukannya semi-pro. Kerja urus dan main bola sepak tu kerja sepenuh masa mereka, tetapi masalah macam kelab tanpa liga.


ALOR SETAR: Kerajaan negeri terdahulu belum meluluskan bayaran RM1.5 juta kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membayar tunggakan gaji pemain skuad Lang Merah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri terdahulu hanya membuat cadangan bayaran, namun sebarang kelulusan tidak pernah berlaku kerana ia terlalu hampir ketika peralihan kerajaan negeri.

Jelasnya, beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada mesyuarat EXCO hari ini, dan kerajaan negeri pimpinannya bersedia mempertimbang meluluskan bayaran itu.

"Pengumuman kerajaan lama bahawa sebanyak RM1.5 juta diguna untuk membayar gaji tertunggak pemain Lang Merah sebetulnya baharu dalam peringkat cadangan dan dibentangkan dengan pembayaran sememangnya tidak dibuat.

"Oleh itu pihak pentadbiran kerajaan negeri berpandangan sebaiknya kelulusan jumlah yang besar itu dibuat oleh kerajaan baharu.

"Jadi kita pertimbang untuk meluluskan bayaran itu di samping inisiatif lain yang diambil kerajaan untuk menyelesaikan masalah berbangkit dalam KFA," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan KFA yang membentangkan prestasi semasa persatuan itu termasuk kedudukan kewangan.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius masalah yang dihadapi KFA dan akan merujuk dan mendapat nasihat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Presiden KFA sebelum ini patut menyelesaikan perkara berbangkit termasuk kontrak yang ditandatangani bersama pihak ketiga tanpa membuat kajian kewangan terlebih dahulu.

"Komitmen kewangan yang terlalu besar dalam kontrak yang ditandatangani mengakibatkan KFA berada dalam prestasi kewangan yang tenat, bagaimanapun kerajaan di bawah kepimpinan saya akan beri perhatian kepada masalah ini kerana bola sepak adalah sukan rakyat," katanya.

Pemain Kedah sebelum ini, mendakwa tidak mendapat bayaran gaji tiga bulan mulai Februari lalu, dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera.

Bagaimanapun pada 19 Mei, bekas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris mengumumkan kerajaan negeri sebelum ini sudah meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membayar tunggakan gaji mereka.

Katanya, bekas Menteri Besar merangkap Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah meluluskan peruntukan itu dua hari sebelum meletak jawatan pada 17 Mei.


sumber berita "Gaji pemain Kedah tertunggak sebab peruntukan belum lulus" disediakan oleh Noorazura Abdul Rahman dan diterbitkan di Berita Harian Online pada 20200527.