Sedih membaca berita macam ni.

Ia berlaku pada penjawat awam kerajaan Malaysia, dan ia berlaku di dalam kawasan pentadbiran Kerajaan Malaysia iaitu di Putrajaya.

Bayangkanlah jika kakitangan kerajaan, di kawasan kerajaan pun ditindas sebegini, bagaimana pula dengan pembeli biasa di kawasan yang jauh daripada mata dan telinga kerajaan?

Adakah ini bermakna pemaju yang sebangsat ini boleh sesuka hati mempermainkan para pembeli?

Pemaju bangsat ini tentu sahaja bahagia kerana pihak bank akan tetap membuat bayaran kepada mereka manakala pembeli pula menanggung derita.

Semuanya atas dasar kenyang perut sendiri.

Semoga kerajaan akan bertindak tegas dan menghukum pemaju sebegini, barulah boleh bertahan lama sebagai sebuah kerajaan, apabila rakyat melihat yang salah dihukum dan yang tidak bersalah dilindungi.

Bukan hanya politik, politik, politik... semua benda nak dipolemikkan sebagai isu politik, bukan atas dasar kepentingan rakyat.


PUTRAJAYA: Bangunan projek perumahan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Presint 11, nampak indah pada mata kasar tetapi tanggapan itu meleset jika dilihat secara dekat dan terperinci.

Apa yang lebih membimbangkan, struktur bangunan berkenaan juga didakwa boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk kerana dikatakan tidak mengikut spesifikasi pembinaan yang ditetapkan.

Tinjauan BH di projek berkenaan mendapati, ada sebahagian dinding unit rumah terbabit turut 'dicampur' polisterin dan kertas beg simen sebelum ia ditutup menggunakan bancuhan simen.

Selain itu, pintu di kediaman itu juga tidak dipasang dengan betul sehingga menyukarkan penduduk untuk menutup dan membuka pintu terbabit.

Pengadu yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah, 36, berkata disebabkan terlalu banyak kerosakan yang berlaku di rumahnya, beliau terpaksa duduk di rumah lain terlebih dahulu dan terpaksa membayar kos untuk dua rumah pada satu masa walaupun tidak menetap di situ.

Katanya, pelbagai aduan di beberapa kementerian sudah dibuat, namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenai penyelesaian masalah berkenaan.

"Saya sudah membayar rumah ini hampir sembilan bulan, namun hanya bayar semata-mata tanpa berpeluang menduduki rumah ini. Saya juga sudah menghubungi pemaju, mereka memberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

"Dari hari ke hari, tempoh yang diberikan terpaksa dipanjangkan dan kini ia sudah memasuki bulan ke sembilan. Ada sahaja alasan yang diberikan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada juga pihak pemaju datang betulkan seperti membaiki lantai jubin ini, namun hasilnya tidak memuaskan dan hanya membaikinya secara ala kadar dan tangkap muat," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Aminah berkata, beliau sudah berbelanja lebih RM28,000 kerana selain membayar rumah berkenaan secara bulanan, pihaknya juga terpaksa membayar yuran penyelenggaraan di kediaman terbabit, kos guaman, cukai serta laporan kerosakan.

"Saya lihat masalah ini seperti tiada harapan untuk diselesaikan, pelbagai alasan diberikan oleh pihak pemaju namun keadaan rumah saya masih seperti ini.

"Harga yang dikenakan di rumah ini agak tinggi, namun kualiti barangan serta hasil kerjanya tidak seperti yang dibayar. Saya sedih dan penat kerana setiap bulan gaji dipotong untuk membayar rumah ini namun tidak dapat mendudukinya," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd. Oleh Noor Atiqah Sulaiman. 20200528.