بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Sebenarnya Tedi tak berapa berkenan dengan bola sepak di Malaysia ini. Kenapa perlu ahli politik terajui kepimpinan persatuan bola sepak?

Contohnya macam inilah, tukar menteri besar, presiden persatuan bola sepak pun bertukar. Siapa suruh menteri besar jadi presiden persatuan bola sepak?

Bola dan politik tak boleh dipisahkan. Tidak profesional sungguh. Itulah Malaysia.

Sepatutnya persatuan bola sepak diterajui oleh seseorang yang berminat nak memajukan persatuan bola sepak itu, dan dia dipilih kerana kebolehannya dan minatnya bukan kerana kedudukannya.

 


Sanusi bersedia terajui KFA

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersedia menyahut cabaran menerajui Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah FA) sekiranya namanya dicalonkan sebagai Presiden Kedah FA.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang dicalonkan menerajui Kedah FA kelak harus mampu membawa masuk penajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan persatuan itu.

Menurutnya, faktor kewangan antara aspek penting dalam mengukuhkan pentadbiran dan kedudukan pasukan 'Hijau Kuning' atau lebih dikenali dengan Lang Merah susulan kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan.

“Saya berharap tokoh yang bakal dicalonkan dan menerima jawatan sebagai presiden boleh membawa masuk penajaan untuk persatuan bagi mengukuhkan pengurusan pasukan. Individu berkenaan perlu berkeupayaan menarik penaja untuk pasukan dan Kedah FA,” katanya pada sesi temubual di pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Muhammad Sanusi yang turut meminati pelbagai jenis sukan termasuk bola sepak mengakui Kedah FA memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan berharap syarikat berminat tampil mengemukakan kertas cadangan.

“Ini bukan sekadar jawatan, yang penting keupayaan bagi mengukuhkan kewangan persatuan. Kalau ada mencalonkan saya sebagai presiden, saya sahut cabaran itu. Insya-ALLAH saya akan terima, kalau tak ada pun tak mengapa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti semula kontrak-kontrak yang ditandatangani sebelum ini dan sekiranya ada yang membebankan dan tidak mampu diteruskan, kemungkinan akan dikaji semula.

"Saya pun sama dengan seluruh rakyat Kedah, saya mahu Kedah terus maju dalam semua bidang sukan. Kita akan kekalkan momentum 'Kedah Serata-Rata' yang kita laungkan selama ini,” katanya.

Muhammad Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang melepaskan jawatan termasuk sebagai Presiden Kedah FA, pada 17 Mei lalu.

Berdasarkan perlembagaan dan statut Kedah FA, Menteri Besar tidak disyaratkan secara automatik dilantik sebagai Presiden Kedah FA.

Mana-mana individu layak dicalonkan dan diundi oleh 36 badan gabungan Kedah FA untuk melayakkan individu itu dilantik ke jawatan itu.

Mengulas lanjut, katanya, sukan untuk anak muda akan diperluaskan dengan membuka lebih banyak peluang di daerah untuk mencungkil bakat baharu sukan.

“Kita akan jadikan Kedah satu kuasa baharu dalam arena sukan,” katanya.


Artikel ini telah diterbitkan dalam Sinar Harian dengan tajuk "Sanusi bersedia terajui KFA" disediakan oleh ROSLINDA HASHIM bertarikh 26 Mei 2020 (20200526)