KUALA LUMPUR: Pengalaman lalu jelas memberikan pengajaran berguna buat pertahanan Kedah, Azmeer Yusof untuk bangkit membina semula 'aset' yang lebih menjamin masa depan.
Apa tidaknya, pemain berusia 30 tahun itu mendedahkan betapa dia kini memiliki empat rumah, dua kereta, lot tanah, simpanan emas dan wang tunai yang cukup untuk menyara hidup dan keluarga walaupun pernah dibebani hutang akibat sikap boros ketika usia muda.
Malah, dia turut menyatakan hasrat membantu golongan muda yang kurang berkemampuan untuk membeli rumah.
"Alhamdulillah dengan izin Allah, saya sudah mempunyai empat rumah, dua kereta, simpanan emas dan cash money (wang tunai). Doakan pula selepas ini, tanah saya di Alor Setar dipermudahkan untuk saya buat pecahan lot untuk saya bantu golongan muda yang susah nak beli rumah dari bank.
"Kepada yang berminat dengan lot rumah itu (mengikut terma dan syarat) tunggu posting (hantaran di media sosial) dari saya seterusnya. Sebab itu yang mana follow (mengikuti) saya dari dulu, saya tak pernah usik mengenai gaji bola sepak masuk atau tidak.
"Sebab saya sudah ada secukupnya utk tampung kehidupan saya dan keluarga. Zakat dan sedekah jangan sesekali lupa. Buatlah amal jariah sebanyak mungkin. Tak selamanya kita hidup," katanya Azmeer menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Sebelum ini, Azmeer mengakui kesal selepas 'joli sakan' termasuk membeli tujuh kereta yang menyaksikan dia dibebani hutang ketika usia hampir mencecah 30 tahun.
Namun, ada segelintir pihak yang menyalah tafsir mengenai pendedahan yang dibuat, malah ada yang menganggap dia cemburu dengan beberapa pemain bola sepak negara ini yang membeli kereta mewah.
Azmeer menegaskan bahawa apa yang diluahkan itu bukan kerana cemburu, namun lebih kepada mahu memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak melakukan kesilapan sama yang pernah dilakukannya.
"Saya mohon sejuta kemaafan kepada sesiapa yg terasa hati dgn posting saya baru-baru ini. Bukan niat nak perli mana-mana pihak, bahkan lebih kepada nak menunjukkan tentang kebodohan diri sendiri mengenai kesilapan lalu agar tidak terjadi kepada orang lain.
"Kita kena akui ramai orang yang mempunyai masalah seperti apa yang saya ceritakan. Jadi, saya meletakkan diri saya sebagai bahan 'kecaman' agar yang pernah berada dalam situasi saya boleh lakukan apa yang sepatutnya mulai sekarang.
"Saya nak share (kongsi) tentang kejayaan saya selepas saya berubah sedikit demi sedikit dengan apa yang terjadi. Lepas ini minta tolong jangan tulis artikel cakap 'Azmeer Yusof tayang harta' pula," katanya.
Artikel ini diterbitkan di Berita Harian Online dengan tajuk `Saya sudah ada secukupnya tampung keluarga' oleh Zulfaizan Mansor pada 20200530.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.