بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Hari ini nak windows shopping dinar keluaran Kelantan Gold Trade, biasalah beruang tiada berwang, mampu tengok-tengok je lah kan.

Dinar 2015 keluaran Kelantan Gold Trade

Cantik... tapi Tedi sukakan rekaan koleksi 2008 lagi.

Pergh kalau banyak duit bolehlah beli buat koleksi ni. Mesti kan orang di luar sana yang beli dinar Kelantan ni sebab nak simpan je kan?

Apatah lagi kalau ada dinar emas keluaran negeri lain bolehlah beli lagi buat koleksi. Sama macam kumpul duit syiling la ni tapi ni kasta tinggi punya. Hahahaha (gelak sedih sebab mampu tengok je la).

Bayangkan suatu masa nanti Dinar 2015 ni kepupusan di dalam pasaran, pergh mesti mahal ni, bukan pasal nilai emas, tapi pasal rekaannya sudah susah ditemui di muka bumi.

Tedi tengok ada orang jual di AliBaba maksudnya dinar Kelantan Gold Trade ni bukan dalam pasaran Malaysia sahaja malah sudah ke pasaran antarabangsa, kalau orang China borong ni melopong la kita..

Dinar 2015 adalah Dinar Kelantan terbaru keluaran Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd.
  • Dinar Emas ini adalah keluaran terbaru Kerajaan Negeri Kelantan dibawah syarikat Kelantan Gold Trade Sdn Bhd.
  • Seberat 4.25g dengan denominasi 1 Dinar ini, penempaan yang halus dan memiliki ciri-ciri keselamatan yang terbaru dan lebih terjamin dapat memberi kepuasan kepada pemilik dan penyimpan dinar.
  • Disertakan nombor siri bagi setiap unit dinar dengan tujuan keselamatan dan sijil ketulenan bagi memberi keyakinan kepada pemilik dan penyimpan dinar.
  • Dinar ini boleh didapati di Pejabat utama Kelantan Gold Trade di Tunjong, pusat jualan Kelantan Gold Trade di Bazar Tok Guru, pusat jualan Kelantan Gold Trade di Lapangan Terbang Pangkalan Chepa atau layari kedai online Kelantan Gold Trade di www.kgt.com.my/shop. 

 


Ini berita berkaitan pengeluaran Dinar Emas edisi baru ni, edisi 2015 lah yang terbaru.

Kelantan perkenal dinar emas edisi baharu

KOTA BHARU: Kelantan sekali lagi memperkenalkan edisi baharu mata wang emas berlandaskan syariah iaitu dinar dan wafer emas serta dinar emas dan dirham perak.

Mata wang yang menggunakan emas dan perak itu mempunyai nilai muka sah untuk dijual atau sebagai gadaian di kedai pajak gadai Islam seperti Ar Rahn atau Ar Rahnu.

Diuruskan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Gold Trade menawarkan wafer, dinar dan dirham terbabit mulai semalam, yang boleh dibeli oleh orang ramai sebagai satu pelaburan atau simpanan.

Bagi wafer emas yang bersaiz muka 15 x 8 milimeter (mm) bersamaan berat 1.0 gram dengan ketulenan emas 999 dan dinar emas dengan nilai muka Satu Dinar seberat 4.250 gram berukuran diameter 22 mm dengan ketulenan emas 917.

Manakala dirham perak, dua jenis diperkenalkan iaitu yang bernilai Satu Dirham seberat 2.975 gram berukuran diameter 22 mm dengan ketulenan perak 999 dan Dirham Belia seberat 29.75 gram berukuran diameter 41 mm dengan ketulenan perak 999.

Produk dinar emas lain yang ditawarkan ialah dalam bentuk 1/2 Dinar, Dua Dinar, 5 Dinar dan 8 Dinar, bagi Dirham perak pula, Dua Dirham, 5 Dirham, 10 Dirham dan 20 Dirham manakala Dirham Belia dan Dirham Wanita, masing-masing 10 Dirham dengan berat dan harga yang berbeza.

Nilai produk berkenaan yang ditawarkan dijual oleh Kelantan Gold Trade mengikut harga semasa pasaran emas dan perak dan membeli semula daripada jualan balik oleh orang ramai juga mengikut harga semasa dengan sedikit pemotongan bagi kos risiko naik turun harga selepas itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata kerajaan negeri sebelum ini sudah memperkenalkan dinar dan wafer emas pada bulan Ogos 2010 yang dilancarkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, katanya disebabkan beberapa masalah termasuk dari segi ketulenan produk yang dipersoalkan seperti tiada nombor siri dan sijil ketulenan, ia kurang mendapat sambutan sehinggalah sekarang diperkenalkan dalam bentuk edisi baharu yang dijamin ketulenannya.

Katanya, antara ciri baharu ketulenan logam itu diperkenalkan dan dijamin oleh Kelantan Gold Trade ialah setiap produk berkenaan mempunyai nombor siri, kod dan sijil pengesahan.

"Walaupun bukan mata wang dalam kegiatan ekonomi semasa untuk urusan jual beli dan perniagaan tetapi ia sebagai mata wang syariah yang boleh dijadikan sebagai pelaburan dan simpanan wang dalam bentuk nilai emas dan perak.

"Ia juga boleh dibeli untuk dijadikan hadiah atau pun sebagai mas kahwin kerana ia mempunyai nilai dan sah dijual beli dan kita juga mematuhi apa yang ditegur oleh Jabatan Audit Negara dari segi operasinya dan menjaga ketulenan," katanya pada majlis Pelancaran Dinar dan Wafer Emas Edisi Baharu keluaran Kelantan Gold Trade, di Kota Darulnaim di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kelantan Gold Trade, Khalily An Kadir.

Ahmad berkata, sebagai sokongan bagi mengukuhkan Kelantan Gold Trade sebagai pemain dalam industri perniagaan emas di negeri ini, kerajaan negeri juga menetapkan dasar setiap syarikat perlombongan emas di negeri ditetapkan menjual tidak melebihi 30 peratus bahan galian itu kepada Kelantan Gold Trade.

Katanya, langkah itu sebagai menjaga kepentingan logam itu tidak dilombong sewenang-wenangnya dipasarkan sepenuhnya kepada pihak luar.

Sementara itu, Khalily berkata, pihaknya menyasar jualan wafer dan dinar, emas sehingga lima kilogram sebulan manakala dirham perak satu kilogram sebulan menerusi edisi baharu logam berkenaan.

Beliau menjangkakan sambutan baik akan diterima daripada orang ramai menerusi produk edisi baharu yang ditawarkan itu sebagai satu bentuk pelaburan dalam bentuk pembelian emas.

"Kita mensasarkan kutipan jualan produk ini sehingga RM2.5 juta sebulan dan jualan wafer, dinar emas dan dirham perak akan mengikut harga pasaran semasa," katanya.

Artikel ini adalah bertajuk "Kelantan perkenal dinar emas edisi baharu" disediakan oleh Azman Mahmood dan disiarkan di Berita Harian pada 20151216.

 


Koleksi Dinar 2008

Berbanding Dinar Kelantan siri 2015 keluaran Kelantan Gold Trade, Tedi lebih sukakan rekaan pada koleksi Dinar Kelantan 2008 ni.

Gambar Koleksi Dinar Kelantan Gold Trade siri 2008
  1. Dinar emas ini adalah keluaran Dinar Kelantan siri kedua Kerajaan Negeri Kelantan di bawah syarikat Kelantan Gold Trade Sdn Bhd pada tahun 2008 dengan beberapa denominasi iaitu 1/2 Dinar, 1 Dinar, 2 Dinar, 5 Dinar, dan 8 Dinar.
  2. Pemberitahuan: Kelantan Gold Trade tidak lagi mengeluarkan Dinar ini, akan tetapi, pelanggan yang ingin memiliki Dinar ini sebagai koleksi peribadi boleh membuat tempahan melalui tempahan ONLINE.
  3. Makluman: Pembelian balik dinar ini sebanyak 10% akan dikenakan bermula 01.01.2017.