Kelakar pula Tedi dengar perbualan di antara 2 manusia ni tentang "Malu-malu Kucing".
Tedi bagi nama mereka An dan Ho saja lah. Kedua-dua mereka warganegara Malaysia berbangsa Melayu.
Ho: "Saya musykillah mengenai malu-malu kucing ni. Macam mana rupanya kucing tu malu-malu?"
An: "Owh, kucing tu malu bila kita nak belai dia, dia macam nak tak nak je."
Ho: "Tapi sebenarnya dia nak?"
An: "Ha'ah. Bila kita belai dia, dia pun seronok sangat."
Ho: "Kiranya kucing tu macho?"
An: "Macam tu lah lebih kurang."
Tedi gelak guling-guling. Rupa-rupanya ada juga manusia fikir macam tu! Tak pernah terlintas pula di benak fikiran Tedi ni!
Asal-usul simpulan bahasa "Malu-malu Kucing"?
Maksud "Malu-malu Kucing" ni bagi Tedi boleh dilihat kepada situasi kucing mencuri ikan.
Kucing ni jika ada manusia, baik je dia tak disentuhnya ikan tu, kucing tu cuma duduk tidur pejamkan mata, atau pun bayang kucing tu pun kita tak nampak.
Tapi apabila kita terleka je berdesup disambarnya ikan tu dibawa lari lintang-pukang, selalunya diiringi dengan bunyi benda jatuh, sambil kita terkejut, kemudian kejar kucing tu dengan penyapu sambil kita sumpah seranah kucing tu.
Sebab tu juga ada orang kata "alim-alim kucing", nampak je senyap tapi sebenarnya sedang mengintai peluang.
Jadi hal ini sebenarnya merujuk kepada keperibadian kucing ni menyembunyikan diri atau menyamar atau berlakon baik sementara menanti mangsanya leka. Ini adalah biasa kerana ia sifat memburu seekor kucing.
Bayangkan kelakuan harimau atau singa memburu mangsanya, diintainya sahaja mangsanya dari kawasan semak atau hutan sebelum menerkam.
Malu-malu kucing juga berkaitan dengan sifat berwaspada kucing kepada sesuatu tawaran kepadanya seperti kita tawarkan ikan. Kucing takkan mudah menerimanya sehingga dia yakin tawaran itu asli.
Jadi betullah kata An tu jika kucing tu tu berwaspada semasa nak menerima belaian, kucing tu kena pastikan bahawa belaian itu tawaran yang asli dan bukannya satu perangkap.
Maksud peribahasa "Malu-malu Kucing"
Tak lengkap jika karangan Tedi ini tidak disertai maksud peribahasa "malu-malu kucing" ini daripada sumber yang boleh dipercayai.
Buku Bimbingan dan Panduan Tatabahasa KBSM tulisan Sharifah Nor Syed Abd. Rahman menyatakan bahawa maksud malu-malu kucing ialah:
pura-pura malu
Ray Eusouff pula memberikan maksud yang Tedi suka:
Bersikap (seperti) tidak menginginkannya kerana malu jika terlihat, dan sangat menginginkannya jika tidak terlihat,
atau
Bersikap menolak ketika ditawarkan, tetapi mengambil / menerima ketika yang menawarkan tidak melihat.
Malu tetapi mahu.
Contoh ayat bagi simpulan bahasa malu-malu kucing:
Rokiah malu-malu kucing apabila bakal ibu mertuanya mahu menyarungkan cincin pertunangan ke jarinya.
Situasi bagi Rokiah di atas adalah situasi yang tepat kerana Rokiah sebenarnya mahu jarinya disarungkan cincin pertunangan tersebut, tetapi dia perlu kawal perangainya supaya tak nampak sangat dia teruja menerima pinangan tersebut. Kena nampak sopan.
Rokiah kena berlakon macam dia tak nak hulurkan tangannya tetapi apabila didesak dia akhirnya menghulurkan tangannya.
20200609
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.