بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


Bagi sesiapa pemandu yang selalu memandu sama ada dari Kota Bharu ke Tumpat atau sebaliknya pasti sudah biasa menghadapi kesesakan jalan raya. Maklum sahajalah nak kena seberangi Sungai Kelantan dan bilangan jambatan yang ada adalah terhad.

Mengikut pengetahuan kami ada 2 jambatan yang boleh dilalui iaitu Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jambatan Tendong (kalau tak salah nama).

Jika jambatan yang dicadangkan ini dibina maka ia boleh jadi alternatif terutama kepada mereka yang mahu ke Pengkalan Kubor. Walaupun Jambatan Sultan Yahya Petra telah dibesarkan namun kesesakan berlaku pula di Pasir Pekan dan sekitar Wakaf Bharu kerana itu kawasan pekan.

Manakala di kawasan Kampung Laut ini pula masih kawasan kampung, maka sepatutnya kurang aliran trafik di sana. Semestinya jambatan ini akan merancakkan ekonomi penduduk sekitar, banyak kereta lalu, pasti ramai yang mahu berhenti kurang-kurang cari makan ketika lapar dalam perjalanan.

Tedi mendoakan semoga jambatan ini berjaya dibina.

Tetapi semoga para jurutera yang membinanya tidak melupakan bencana banjir besar yang melanda Kampung Laut dahulu. Sesungguhnya Sungai Kelantan itu bukan calang-calang apabila airnya naik!

Jambatan Kampung Cina-Kampung Laut bernilai RM200 juta akan dibina

KOTA BHARU: Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk membina jambatan yang dijangka membabitkan kos RM200 juta menghubungkan Kampung Cina, Penambang ke Kampung Laut, Tumpat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata cadangan pembinaan jambatan sepanjang lebih 1,000 meter itu turut diluluskan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

"Jambatan ini akan melintasi Sungai Kelantan dan sebagai satu langkah penguraian trafik dari Tumpat ke Kota Bharu atau Kota Bharu ke Tumpat.

"Dengan adanya jambatan baharu ini, ia boleh menjadi alternatif kepada mereka yang menyeberangi Sungai Kelantan, namun tidak mahu masuk ke bandar.

"Pembinaan jambatan ini adalah permintaan penduduk sejak dahulu dan sebelum ini kita pernah mengangkat kepada Kerajaan Pusat. Namun, melalui ECER baru-baru ini, projek berkenaan diluluskan dan hari ini kerajaan negeri secara dasarnya meluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO, di Kota Darulnaim, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pembinaan jambatan itu akan dimulakan selewat-lewatnya Januari tahun hadapan memandangkan ia membabitkan tanah kerajaan.

"Pembinaan jambatan ini terdapat dua jajaran namun ia tidak membabitkan rumah penduduk, sebaliknya tanah sawah milik kerajaan. Proses akan menjadi lebih mudah kerana ia membabitkan tanah kerajaan," katanya.

Sumber: © New Straits Times Press (M) Bhd - 20200820


~~~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, tqvm