ALOR SETAR: Persoalan mengenai pemain import kuota ASEAN bagi saingan musim depan terjawab apabila Kedah akhirnya memilih untuk mengambil seorang pemain pertahanan dari Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Khamal Idris Ali berkata nama pemain import baharu itu akan diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Noor bersama senarai lengkap pasukan 15 Januari ini.

"Selepas semua urusan penyenaraian selesai, kita akan membuat pengumuman secara rasmi pada 15 Januari," katanya di sini.

Khamal berkata skuad Kedah untuk musim depan sudah hampir lengkap dan hanya menantikan sedikit lagi aturan serta proses yang diperlukan sebelum pengumuman dibuat nanti.

"Kita sudah melengkapkan senarai pemain skuad Hijau Kuning ini sebanyak 98 peratus. InsyaAllah, akan lengkap sepenuhnya dalam masa terdekat selepas semua urusan selesai." katanya.

Kedah sebelum ini mengumumkan pelepasan 13 pemainnya yang tamat kontrak pada musim ini. Selain pemain, KDA FC juga akan mengumumkan barisan kejurulatihan bagi menggalas tugas untuk musim depan.

Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
December 18, 2020 @ 6:55pm

20201218 18:55

Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/766481/kedah-ikat-pemain-dari-singapura