ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah melengkapkan 99 peratus dalam melengkapkan sebuah pasukan bagi menghadapi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, KDA FC bakal menjadi salah sebuah pasukan paling mantap dalam persediaan menghadapi pertarungan yang lebih mencabar tahun 2021.

Menurutnya, pasukan itu hampir melengkapkan barisan pemain dan kejurulatihan serta persiapan kewangan.

Katanya, pada masa sama, pihaknya juga melakukan persiapan bersungguh-sungguh dalam mengikuti ketetapan yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Insya-Allah pasukan Kedah akan menjadi pasukan paling mantap dan terbaik pada saingan musim hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kongres Tahunan KFA Kali Ke-45 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kedah akan membuka tirai cabaran Liga M berentap dengan pasukan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 26 Februari 2021.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, senarai penuh nama pemain dan kejurulatihan akan diumumkan selepas 20 Januari tahun hadapan.

Tambahnya, jersi baharu pasukan KDA FC juga akan dilancarkan secara serentak dengan pengumuman nama pemain.

“Saya tidak mahu mendedahkan lagi senarai nama pemain termasuk ‘awang import’ kerana akan ada kejutan.

“Peminat diharapkan bersabar menunggu pengumuman rasmi (pemain) selepaa 20 Januari depan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, bekas pemain Kedah dan Kebangsaan, Muhd. Radhi Mat Din sebagai pengarah teknikal KDA FC musim hadapan.

Sumber: https://www.utusan.com.my/sukan/2020/12/kedah-tampilkan-pasukan-paling-mantap/

Oleh ZAID MOHD NOOR
24 Disember 2020, 9:21 pm

20201224