Alor Setar: Pemain pertahanan Kedah Rodney Celvin berhasrat membalas kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak terhadapnya untuk bersama skuad Kedah bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.
Pemain kelahiran Sarawak berusia 24 tahun ini berkata, sudah tiba masanya beliau membuktikan kemampuan yang dilihat oleh Aidil yang ada pada dirinya bagi memperkasakan barisan pertahanan untuk musim depan.
"Saya mahu buktikan kepada jurulatih Aidil dan penyokong dengan kemampuan yang saya ada sebab saya tahu yang dia (Aidil) tahu 'sesuatu' yang saya boleh saya lakukan bersama pasukan.
"Jadi dengan kepercayaan yang diberi Aidil saya itu, saya perlu beri usaha seratus peratus untuk pasukan dan kita tahu pemain Kedah ramai yang berbakat dari muda hingga ke senior dan mereka juga boleh membantu saya demi untuk pasukan.
"Bagi saya ini satu cabaran yang besar yang perlu saya tunaikan apabila dipilih bersama Kedah pada musim depan kerana pasukan Kedah adalah satu pasukan yang penuh dengan rekod kejayaan dan ini mendorong semangat saya yang semakin tinggi untuk beraksi nanti," katanya.
Rodney yang adalah pemain Selangor yang dipinjamkan ke Kedah pada musim depan ini juga berkata, reputasi dan kepimpinan yang dibuktikan oleh ketua jurulatih itu turut mendorong dirinya untuk terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasinya dalam Liga M.
"Saya bertekad mahu melakukan usaha yang terbaik di barisan pertahanan disamping sokongan dari rakan diposisi berkenaan dan pada masa yang sama berharap dapat mengikuti taktikal yang akan diserapkan oleh Aidil nanti dengan baik."
"Musim depan adalah peluang yang terbaik dan tidak harus saya lepaskan bagi meningkatkan tahap pencapaian saya seterusnya dalam pasukan Kedah," katanya.
Berkaitan tekanan untuk dipilih ke peringkat kesebelasan utama, Rodney berkata beliau perlu fokus dengan baik dan mengikut aturan taktikal dan corak permainan yang akan diatur oleh barisan kejurulatihan.
"Saya perlu berusaha dengan sebaik mungkin kerana saingan dalam pasukan begitu hebat dengan setiap pemain perlu memberi saingan yang sihat seperti yang dikehendaki untuk pemilihan merebut tempat yang akan ditentukan nanti". katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 3:09 PM
20201223
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.