Alor Setar: Ujian sebenar skuad Kedah dalam memulakan musim 2021 bakal disaksikan apabila skuad Hijau Kuning itu berentap pada saingan perlawanan aksi Sumbangsih untuk merebut Piala Sultan Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 Februari depan.

Perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Khamal Idris Ali yang berharap segala persiapan yang sedang dilakukan berjalan dengan lancar dan teratur dalam membentuk skuad yang lebih mantap.

"Satu perlawanan yang cukup mencabar dan ujian yang dinantikan nanti adalah pada aksi Piala Sumbangsih 2021 menentang JDT FC pada 26 Februari depan dan waktu itu kita boleh menilai betapa baiknya persiapan kita, supaya dapat bersaing hebat dengan pasukan Harimau Selatan itu.

"Pada saya, persediaan kita kini berjalan dengan lancar, bermula dengan baik, pemain pun tidak banyak masalah serta bebas kecederaan dan harapan saya persediaan kita kali ini akan menghasilkan pasukan yang mantap untuk musim 2021." katanya.

Khamal yang juga bekas pemain Kedah, juga berkeyakinan dengan beberapa perubahan mantap yang dirancang di ruang tengah khususnya untuk mempertajamkan lagi serangan skuad Lang Merah.

"Dengan kemasukan beberapa pemain baharu yang masih segar dari segi suasana pasukan, tambahan dengan pemain import baharu yang kita rasa ada naluri tajam di bahagian tengah, nampak kita boleh mencabar.

"Harap-harap dapat beri satu saingan hebat pada kelompok lima pasukan teratas dalam Liga Super." katanya.

Sementara itu pengendali Kedah Aidil Sharin yang memulakan tugas latihan hari pertama bersama skuadnya semalam turut bersemangat melihat keceriaan pemain-pemain tempatan yang sudah memulakan latihan sejak 20 December lalu.

"Alhamdulillah, semangat pemain pemain dalam pasukan yang sedang menjalani latihan dilihat tinggi dengan sikap penuh kerjasama mereka secara berpasukan dan ini mampu meningkatkan lagi persefahaman antara mereka seterusnya."

Kedah setakat ini sudah mengumumkan dua penyerang importnya Kpah Sherman dan Kipre Tchetche kekal bersama skuad ini untuk musim depan dan selanjutnya Kedah dijangka mengumumkan senarai penuh nama pemain dan barisan kejurulatihan termasuk jersi rasmi pasukan untuk musim depan sekitar hujung Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 3:44 PM

20201229

Sumber: https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/658060/ujian-sebenar-kedah-menentang-jdt