Alor Setar : Penyerang import Kedah Kipre Tchetche yakin perancangan yang diatur oleh Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak dalam membentuk skuad Hijau Kuning musim ini mampu menjulang kejayaan yang bermakna dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Menerusi laman rasmi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pemain kelahiran Ivory Coast yang memasuki tahun kedua bersama Kedah meluahkan keyakinannya terhadap pengekalan sebahagian besar pemain dan penambahbaikan yang dilakukan oleh ketua jurulatih bersama pengurusan KDA FC musim ini.

"Pasukan musim ini saya lihat ada kesinambungan dari 2020, dan ini memudahkan tugas pemain untuk mencari dan meneruskan lagi tahap keserasian yang terjalin selama ini.

"Saya amat berterima kasih kepada jurulatih Aidil Sharin Sahak kerana beliau mengekalkan sebahagian besar pemain dan beliau juga dapat melihat kekurangan dan seterusnya memperbaiki kekuatan untuk musim ini berbanding musim lalu.

"Saya percaya beliau (Aidil Sharin) memilih pemain yang penting bersama Kedah untuk membantu kami pada musim ini. Saya kenal pemain baharu yang diikat itu dan mereka adalah pemain yang berkualiti dan saya pasti mereka akan bantu Kedah mencapai kejayaan." katanya.

Kipre yang tiba di Alor Setar pada minggu lalu turut mengakui dia perlu menggandakan lagi latihannya apabila dia sedikit ketinggalan dari segi jumlah latihan disebabkan pasukan memulakan latihan sejak tiga minggu lalu.

Dia kini sudah memulakan latihan tanpa sentuhan bersama pasukan sejak Kedah dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selepas Kedah diumumkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 13 hingga 26 Januari.

"Saya perlu memikirkan sesuatu untuk berlatih dua kali ganda dari latihan semasa dan saya pasti saya dapat cergas pada tahap yang diperlukan menjelang aksi perlawanan sumbangsih yang dijadualkan pada 26 Februari depan.

"Sudah tentu, perlawanan pertama musim ini iaitu untuk merebut kejuaraan piala untuk perlawanan Sumbangsih nanti adalah amat penting, dan untuk membina keyakinan, saya mahu persiapkan diri dengan segera kerana perlawanan ini tidak mudah dan kita tahu pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah pasukan yang kuat.

"Kita juga pasukan yang bagus dan saya rasa semua pemain akan menantikan aksi perlawanan ini dan pastinya semua penyokong di Malaysia akan terhibur dengan pertembungan ini, walaupun kita tahu situasi Covid-19 mungkin tiada penonton, kita faham namun apapun, kita nantikan apa yang akan berlaku nanti."

Selain Kipre dan Kpah Sherman yang dikekalkan, dua nama pemain import baharu KDA FC untuk musim 2021 iaitu Rabih Ataya dan M Anumanthan sudah diumum bersama pasukan.

Manakala seorang lagi import pertahanan Renan Alves mungkin dikekalkan apabila dia kini sudah kembali ke Malaysia dan difahamkan sedang menjalani proses kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:27 PM
20210118
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/01/665519/kipre-yakin-percaturan-aidil