LONDON: Larangan berada di tepi padang ke atas pengendalinya Dean Smith tidak menjadi masalah buat Aston Villa untuk menewaskan Newcastle 2-0 di laman sendiri.
Jaringan awal Ollie Watkins meletakkan Villa di depan, dengan Bertrand Traore memastikan kemenangan sebelum rehat.
Kemenangan di Villa Park menyaksikan kelab Birmingham itu melonjak ke tangga kelapan Liga Perdana Inggeris.
"Saya rasa kami beraksi baik terutama di babak pertama. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol di babak kedua," kata Smith yang dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil ketika kekalahan 2-0 di tangan Manchester City Rabu lalu.
Kekalahan liga keempat berturut-turut - dan kelima dalam semua pertandingan selepas disingkirkan Arsenal dalam saingan Piala FA - menyaksikan Newcastle tergelincir ke tangga ke-16 liga, tujuh mata di atas zon penyingkiran.
Pengendali Magpies Steve Bruce membuat empat pertukaran ke atas skuad yang tewas kepada Arsenal, dengan Javier Manquillo, Fabian Schar, Isaac Hayden dan Jeff Hendrick kembali memperkuat pasukan.
"Malangnya kami memberikan mereka gol dan selepas itu ia menjadi sukar.
"Namun saya berpuas hati pada sebahagian besar permainan. Masih banyak yang perlu diperbaiki," kata Bruce. - AFP
20210124
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/01/779342/villa-tambah-derita-newcastle
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.