Alor Setar: Lima perlawanan persahabatan diatur Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memastikan tahap keserasian dan persefahaman pasukan berada pada tahap terbaik sebelum memulakan aksi Liga Super 2021 yang akan dimulai dengan perlawanan Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 5 Mac depan.

Menerusi maklumat yang diperolehi dari Media KDA FC, Kedah yang sudah melengkapkan dua perlawanan persahabatan menentang Penang FC, bakal menempuhi tiga lagi perlawanan di sekitar Lembah Klang iaitu menentang Selangor FC 2 (SFC 2) pada 24 Februari, Skuad Projek MSN Bawah 21 (U21) pada 26 Februari dan yang terakhir pada 27 Februari menentang Sarawak United FC (SUFC).

Dua perlawanan persahabatan menentang Penang FC (PFC) sebelum ini telah berlangsung pada 19 dan 21 Februari lalu di Alor Setar dan Pulau Pinang.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak, sebaik menamatkan dua perlawanan persahabatan, skuadnya masih belum lagi mencapai tahap seratus peratus keserasian yang dikehendaki kerana KDA FC hanya dapat berlatih penuh dalam tempoh 4-5 hari sebelum perlawanan persahabatan kedua menentang PFC semalam.

"Proses keserasian sedang bersungguh-sungguh dilakukan apabila kita menggabungkan kesemua 26 pemain dalam mencari kesepadanan dalam persefahaman secara 'mix and match' dan kita juga turut memberi ruang untuk dua pemain dari skuad Piala Presiden untuk bersama pasukan dalam perlawanan persahabatan ini.

"Namun apa yang boleh kita lihat, ianya nampak lebih positif dan kita boleh lihat ada beberapa pemain yang antaranya Rodney Celvin dan Rozaimi Abdul Rahman telah dapat bergabung dengan baik dengan pemain lama dan pemain lain, dan itu satu perkembangan yang positif.

"Insya-Allah kita boleh nampak peningkatan semua pemain lain dengan lebih baik apabila kita menghadapi perlawanan persahabatan ketiga, keempat dan kelima yang telah diatur selepas ini." katanya.

Bagi pemain sayap berpengalaman Syazwan Zainon pula beliau mengakui bukan suatu yang mudah untuk terus mendapat keserasian pada tahap tertinggi kerana baru kembali menjalani latihan penuh yang bermula 15 Februari lalu.

"Dengan adanya tempoh masa sebelum liga bermula 5 Mac depan, kami sebagai pemain bersama barisan jurulatih akan cuba berusaha sehabis baik untuk mencapai tahap paling maksimum dalam usaha mendapatkan keserasian dari segi permainan, taktikal dan lain-lain seperti yang dirancang." katanya.

Sementara itu penjaga gawang Kedah Ifwat Akmal turut berkata beliau yakin dengan tahap keserasian yang ada dalam pasukan selama ini kerana pemain telah membuat latihan bersama sebelum ini, namun latihan penuh kembali terbatas diatas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung sebelum ini.

"Walaupun masa agak singkat dan liga semakin hampir, kami tetap akan cuba tingkatkan lagi persefahaman ke tahap paling tinggi dan apa yang kami perlukan adalah terus perbaiki aspek peningkatan yang dikehendaki oleh jurulatih." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 2:54 PM
20210222

Sumber: https://www-hmetro-com-my.cdn.ampproject.org/v/s/www.hmetro.com.my/node/677026/amp?amp_js_v=a6&amp_gsa=1&usqp=mq331AQFKAGwASA%3D#aoh=16139838840372&csi=0&referrer=https%3A%2F%2Fwww.google.com&amp_tf=From%20%251%24s&ampshare=https%3A%2F%2Fwww.hmetro.com.my%2Farena%2Fbola-sepak%2F2021%2F02%2F677026%2Fkda-fc-asah-kuku-dalam-lima-aksi-persahabatan