Alor Setar: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengakui tidak mudah mencapai kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang meskipun beraksi berhadapan 10 pemain pada aksi perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Darul Aman semalam.

"Kami tidak bermula dengan baik, dan bermula dengan tempo perlahan, tetapi saya bersyukur selepas tempoh 15 minit kami kembali bangkit dengan penguasaan yang lebih baik.

"Sebenarnya tidak begitu mudah untuk kami walaupun berhadapan dengan pihak lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain selepas pihak lawan menyamakan kedudukan pada babak pertama, tambahan pula pertahanan Sri Pahang menjadi lebih kompak serta menyukarkan melalui gerakan melalui ruang tengah.

"Pada waktu rehat, saya berkata kepada pemain di bilik persalinan bahawa kita hanya beraksi dengan 10 pemain dan kita tidak mahu tewas perlawanan ini dan pemain memberi reaksi yang baik dan terus bangkit mencari gol, dan hasilnya kita mendapat gol dari sepakan penalti di awal babak kedua dan kemudian disusuli satu gol lagi," katanya.

Aidil berkata faktor ruang masa rehat selama 11 hari mungkin antara penyebab skuadnya bermula sedikit perlahan dengan intensiti sedikit rendah ditambah pula dengan ketiadaan perlawanan persahabatan berintensiti tinggi di Kedah dan hanya beraksi menentang skuad Piala Presiden Kedah sahaja.

Tambah Aidil lagi, walaupun skuadnya berada di kedudukan kedua carta Liga Super setakat ini, tetapi beliau tidak melihat kelebihan pada kedudukan itu sebenarnya kerana skuadnya harus merancang dengan lebih baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain untuk terus mengekalkan kedudukan.

Aidil juga melahirkan penghargaan kepada semua pemainnya terutama Baddrol Bakhtiar dan Kpah Sherman yang masing-masing meledak dua gol dan satu gol serta penjaga gawang Shahril Sa'ari yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti Sri Pahang di hujung babak perlawanan.

"Penghargaan kepada semua pemain yang bekerja keras memastikan kejayaan, dan ini bukan satu perlawanan yang mudah buat kita kerana Sri Pahang adalah sebuah pasukan hebat.

"Apa yang penting kita berjaya mengutip tiga mata berharga di laman sendiri dan saya anggap mereka beraksi dengan cukup baik dan sudah pasti kita akan mengumpul semula tenaga selepas perlawanan ini.

"Ini memberi semangat dan motivasi untuk kita meneruskan misi kemenangan apabila bertemu Selangor FC selepas ini dan kita akan melihat bagaimana Selangor FC beraksi dalam perlawanan terakhir mereka nanti." katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 12:11pm
20210403
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/04/690919/bukan-kemenangan-mudah-buat-kedah-aidil
Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my