ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mahu skuad bimbingannya segera bangkit dari kekalahan 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Selasa lalu dengan membawa pulang tiga mata dari Stadium Likas malam esok apabila bertemu Sabah FC.

"Pemain perlu segera bangkit selepas tewas pada perlawanan menentang JDT kerana misi penting kita seterusnya adalah untuk memastikan Kedah tidak lagi keciciran mata. Keputusan pada perlawanan lalu sudah berlalu dan menjadi sejarah.

"Saya yakin pemain Kedah sudah menyemat keazaman tinggi pada perlawanan bertemu Sabah FC. Saya sudah melihat kerja keras dan kesungguhan mereka sepanjang dalam latihan," katanya.

Aidil Sharin bagaimanapun mahu pemainnya tetap berwaspada dengan kebangkitan Sabah FC yang berjaya memungut mata penuh dalam dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini.

"Walaupun dengan rekod sebelum ini kita dapat menewaskan Sabah, namun kita perlu lebih berwaspada dan berhati-hati dengan kebangkitan mereka di laman sendiri selepas mencatat kemenangan ke atas Perak FC dan Melaka United," katanya.

Selepas 12 perlawanan, Kedah menghuni tangga ketiga carta Liga Super dengan himpunan 23 mata.

Izzali Ismail
bhsukan@bh.com.my
May 7, 2021 @ 6:12pm 20210507