بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Prakata

Semalam tular dalam WhatsApp berkenaan dengan Kota A Famosa dibangunkan di atas Masjid Melaka dan bahan binaannya menggunakan bahan dari batu nisan para ulama dan runtuhan Masjid Melaka tersebut. Petikan "Masjid Agong bukan di bawah Porta De Santiago" di bawah mungkin satu penerangan tentang perkara sebenar, atau mungkin sahaja ia hanya menegakkan benang yang basah. Itu tidak menghairankan kerana Porta De Santiago adalah bangunan bersejarah dan menjadi tumpuan pelancong, maka tentulah kerajaan takkan menggantikannya dengan masjid.

Itu tidak kisahlah. Tetapi apa yang menghairankan ialah di tapak yang diyakini Masjid Agong pernah didirikan itu kini dibina Surau Warisan Dunia, kononnya untuk mengingati sejarah Masjid Agong itu. Pelik. Kenapa bina surau untuk ingati Masjid? Bina sahajalah masjid di kawasan tersebut supaya sama darjatnya, masjid digantikan dengan masjid.

Wallahu'alam.


Masjid Agong bukan di bawah Porta De Santiago

Melaka: Kota A Famosa sememangnya dibina di atas runtuhan Masjid Agong, tetapi bukannya di bawah pintu gerbang arah selatan Porta de Santiago yang menjadi tumpuan ramai pelancong.

THE southern gateway of Porta de Santiago is part of the City of A Famosa. PHOTO Archive NSTP
PINTU gerbang arah selatan Porta de Santiago sebahagian daripada Kota A Famosa. FOTO Arkib NSTP # Saturday, 8 May 2021, 13:34 # 20210508 # 16204520597612033508307.jpg #

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Mohd Nasruddin Rahman berkata, kawasan Kota A Famosa sememangnya luas dan mengelilingi bukit selain mempunyai lima pintu di kawasan sekitar.

A Famosa dibina di atas runtuhan masjid...itu betul jawapan saya. Untuk makluman daripada sumber yang ada (sama ada Portugis atau Melayu) sememangnya ada menyebut berkaitan kewujudan masjid itu.

"Tetapi ia (kedudukan masjid) dipercayai terletak di kawasan Bulatan Kancil berhampiran Bangunan Stadthuys menghadap ke Sungai Melaka. Ia masih di bawah kawasan Kota A Famosa bukannya di Porta de Santiago," katanya ketika ditemui di Muzium Rakyat, Bandar Hilir di sini, semalam.

Menurutnya, Masjid Agong di zaman keagungan Kesultanan Melaka memang wujud dan terletak di sekitar Bulatan Kancil berhadapan Bangunan Stadhuys.

Beliau berkata, sebagai simbolik Surau Warisan Dunia dibina berhampiran lokasi itu untuk menyatakan terdapatnya Masjid Agong di kawasan berkenaan suatu masa dahulu.

lokasi Masjid Agong Kesultanan Melayu Melaka

Mengulas lanjut beliau berkata, catatan juga mengatakan binaan Kota A Famosa juga terdiri daripada runtuhan di sekitarnya termasuk istana, masjid serta makam pembesar Melaka.

Kota Melaka ini besar dan pernah menempatkan istana utama, istana permaisuri, kubu pertahanan serta penempatan rakyat jelata yang berkeluasan dianggarkan tiga kilometer (3 KM). Jadi pelbagai binaan dalam kota ini digunakan Portugis untuk membina Kota A Famosa.

"Cuma apa yang salah adalah persepsi masyarakat mengenai istilah A Famosa apabila mereka membayangkan kawasan (tapak lama masjid) terletak di pintu Porta de Santiago.

"Apa yang mengelirukan masyarakat adalah apabila mereka menganggap A Famosa itu adalah pintu gerbang arah selatan iaitu Porta de Santiago yang selalu menjadi tumpuan pelancong mengambil gambar sedangkan ia sebahagian keseluruhan Kota A Famosa itu sendiri," katanya.

Terdahulu, tular promo sebuah dokumentari dan menjadi perdebatan netizen apabila mendakwa Kota A Famosa dibina di atas runtuhan Masjid Agong.

Mohd Nasruddin berkata, A Famosa bermula dengan kota kecil digelar Fortaleza de Malaca yang dibina Portugis sebagai benteng pertahanan untuk menangkis serangan pelbagai pihak termasuk Sultan Mahmud Shah bagi mendapatkan kembali Melaka dari tangan Portugis.

"Untuk mengukuhkan kedudukan mereka, Portugis mula membesarkan kota terbabit lalu digelar A Famosa. Jadi, mengatakan Masjid Agong terletak di bawah Kota A Famosa adalah betul.

"Mengikut catatan sumber Portugis dan sejarah Melayu yang mana ia diruntuhkan dan dibakar oleh penjajah Portugis ketika menakluk Melaka pada 1511," katanya.

Disiarkan pada: Mei 8, 2021 @ 7:40am, 20210508, Masjid Agong bukan di bawah Porta De Santiago (hmetro.com.my), Nuraliawati Sabri

~20210508~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih