بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
Alhamdulillah semalam Master telah berjaya memperbaharui cukai jalan kereta Subaru XV STI 2015 kami secara online.
Seperti mana yang pernah dilakukan untuk tahun 2020, Master menghubungi Takaful Ikhlas melalui email bertanyakan jika pihak Takaful Ikhlas masih menawarkan pilihan untuk memperbaharui insurans kenderaan melalui email.
Sebagai nota, boleh sahaja perbaharui insurans menggunakan laman web Takaful Ikhlas tetapi Master lebih suka menggunakan email kerana beberapa kelebihan seperti yang pernah diceritakan dalam Perbaharui Cukai Jalan Subaru XV 2020 Atas Talian.
20210527 Mula Email TakafulIkhlas
Master mula hubungi pihak Takaful Ikhlas pada 27 Mei 2021 bertanyakan pilihan untuk perbaharui takaful kenderaan menggunakan email.
20210528 Terima sebut harga daripada Salam Ikhlas
Keesokannya Master terima jawapan daripada email salamikhlas@takaful-ikhlas.com.my yang menyertakan sebut harga takaful kenderaan dan juga kaedah pembayaran.
Kali ini ada beberapa kaedah pembayaran disertakan sama ada melalui:
- Maybank2U,
- Pindahan Interbank (antara bank - pilih normal transfer),
- melalui kad kredit AmBank dan Maybank dengan pilihan 0% pelan pembayaran mudah 6 bulan atau 12 bulan.
20210613 Bayar menggunakan Maybank2U
Master membuat bayaran menggunakan Maybank2U setelah mengambil masa yang lama berhari-hari memusingkan duit ke sana ke sini untuk mendapatkan jumlah tunai yang mencukupi bagi membuat pembayaran tersebut.
Jumlah yang dibayar adalah MYR 1,185.41 (satu ribu dan satu ratus dan lapan puluh lima Ringgit Malaysia dan empat puluh satu sen sahaja).
Pembayaran dibuat pada hari Ahad, 13 Jun 2021 di mana takaful kenderaan untuk kereta Subaru XV kami telah luput 10 hari.
20210614 Terima Nota Perlindungan
Alhamdulillah keesokannya pada 14 Jun 2021, Master telah terima nota perlindungan daripada pihak Takaful Ikhlas.
Terdapat lebihan bayaran MYR 109.61 (satu ratus sembilan Ringgit Malaysia dan enam puluh satu sen sahaja) di mana Master perlu sertakan salinan kad pengenalan dan salinan penyata bank untuk terima bayaran tersebut.
Pelik betul minta salinan kad pengenalan masa nak pulangkan duit, masa terima bayaran tak pula perlukan salinan kad pengenalan.
20210619 Perbaharui Cukai Jalan menggunakan MyEG
Akhirnya pada 19 Jun 2021 Master menggunakan perkhidmatan elektronik MyEG untuk memperbaharui cukai jalan. Kita perlu daftar masuk ke dalam portal MyEG dan kemudian pilih menu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pilih pembaharuan cukai jalan.
Kelakarnya MyEG kata login yang Master gunakan tidak betul, tetapi apabila nak daftar baru gunakan nama pengguna yang sama katanya sudah ada. Apabila Master cuba periksa menggunakan nombor kad pengenalan katanya rekod tidak dijumpai pula.
Akhirnya Master reset kata laluan sahaja, habis cerita.
Jumlah perlu dibayar adalah MYR 447.28 (empat ratus empat puluh tujuh Ringgit Malaysia dan dua puluh lapan sen sahaja).
Pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dijangka penghantaran cukai jalan ke rumah adalah lewat, jadi kita boleh tunjukkan resit pembayaran MyEG ini kepada pihak berkuasa. Ada bar kod di resit tersebut yang membolehkan pihak berkuasa mengesahkan keasliannya. Ada juga URL yang membolehkan kita sahkan resit tetapi laman web itu agak bodoh sedikit sebab kita kena masukkan huruf besar, jika huruf kecil ia takkan jumpa nombor pendaftaran kereta kita.
Bodoh betul. Tak pernah Tedi jumpa fungsi carian yang sensitif dengan huruf besar atau kecil.
PENTING: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, penghantaran cukai jalan akan mengalami sedikit kelewatan.
Anda boleh menggunakan resit MYEG sebagai bukti pembaharuan. Untuk pengesahan resit, anda boleh mengimbas kod QR di atas atau layari https://rdtax.myeg.com.my/rtxchk/rtxform.jsp.
20210702 Terima Road Tax daripada MyEG
Akhirnya cukai jalan yang dibeli pun sampai ke rumah kami pada hari ini. Kena sediakan kad pengenalan sebagai bukti itu adalah cukai jalan milik kita.
Rider yang menghantar cukai jalan tersebut tampak bengang dan bertanya kenapa Master tak angkat telefon? Master sedang cas telefon memang tidak perasan ada panggilan masuk.
~~~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.