بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


KandunganSetelah Setahun BersamaiLife v55 Pro adalah sebuah robotDireka untuk tidak terjunBoleh lap lantaiTidak terlalu bisingMuat masuk ke bawah katil dan almariAda saja habuk dikutip iLife v55 ProMusuh iLife v55 Pro, Jangan pasang berus pada sisi yang salah, Beli Alat Ganti iLife v55 Pro, dan Kesimpulan.


Banyak versi pembersih hampagas (vacuum cleaner) yang telah Tedi gunakan. Ada yang jenis berwayar, ada tanpa wayar. Ada yang besar gedabak, ada yang halus. Ada yang bagus dan ada yang mengecewakan.

Apabila Mummy kata dia beli pembersih hampagas robot iLife v55 Pro, Tedi hanya memandang sebelah mata. Sedangkan pembersih hampagas yang lebih besar pun kadangkala tak mampu membersihkan rumah kami dengan senang, apa yang pembersih hampagas bersaiz kecil dan leper ini mampu lakukan?

Setelah Setahun Bersama

Setelah setahun bersama iLife v55 Pro ini, Tedi boleh rumuskan bahawa ia adalah pembersih hampagas yang paling banyak Tedi gunakan dan paling banyak berjasa.

Kenapa?  Tedi akan cuba ceritakan secara umum pengalaman Tedi menggunakannya.

Tetapi janganlah terburu-buru pula membeli iLife v55 Pro ini, kerana pada masa kini ada banyak versi baru atau adik-adik beliau yang lebih canggih dan murah boleh diperolehi. Jenama lain pun banyak juga.

Mungkin perkongsian Tedi ini lebih kepada pengalaman menggunakan sebuah robot pembersih hampagas yang rekaannya dan fungsinya sama seperti iLife v55 Pro ini. 

 

iLife v55 Pro adalah sebuah robot

Robot. Apa yang kita  terfikirkan jika disebut robot? Robot dicipta untuk untuk membantu manusia melakukan kerja yang diamanahkan kepadanya sendiri, tanpa perlu dikawal, atau lebih mudah disebut automatik. Itulah dia iLife v55 Pro, robot pembersih hampagas ini hanya perlu dihidupkan dan pandai-pandailah dia melaksanakan tugasnya.

Kini Tedi ada lebih banyak masa untuk mengelap lantai. Tidak seperti dulu Tedi perlu sapu lantai dan lap lantai, kini tugasan menyapu lantai dibereskan oleh iLife v55 Pro. Kami boleh bekerja bersama-sama. Dia sapu lantai, dan Tedi sudahkan dengan mengelap lantai tersebut, asalkan jangan ada air bertakung kerana dikhuatiri akan menjahanamkan robot pembersih hampagas tersebut.

Kadangkala Tedi lap lantai dahulu sebelum menggunakan iLife v55 Pro kerana Tedi mahu kumpulkan dahulu habuk-habuk yang ada. Selalunya kami bekerja serentak.

 

iLife v55 Pro direka untuk tidak terjun

iLife v55 Pro ini agak bagus juga boleh kesan di mana hujung tangga jadi ia takkan terjun  tangga, tapi kami tak benarkan ia bermain di tepi tempat tinggi takut berlaku kemalangan jika penderianya tiba-tiba tak dapat atau tidak sempat berkesan.

Tedi cuma pernah cuba letakkannya di tangga untuk uji kehebatannya, memang ia mampu membrek apabila berada di tebing, tetapi pecutannya sebelum membrek itu cukup menggerunkan hati pemilik yang telah menghabiskan duit untuk memilikinya.

 

iLife v55 Pro boleh lap lantai

Tadi Tedi katakan kami bekerjasama di mana iLife v55 Pro sapu lantai dan Tedi lap lantai. tetapi sebenarnya iLife v55 Pro ini boleh lap lantai kerana ia dilengkapi dengan tabung air dan juga kain mop lantai.

Sengaja Tedi cabut kain dan tabung lap lantai itu kerana di rumah kami ada permaidani, jadi takkanlah nak lap permaidani pula? Tambahan peralatan untuk mop lantai itu membuatkannya tersangkut apabila memanjat permaidani.

Rasanya pada masa kini sudah ada robot vacuum cleaner yang mampu memetakan rumah kawasan rumah, di mana kita boleh set di mana perlu dilap atau tidak. iLife v55 Pro milik kami ini tidak miliki kehebatan itu.

 

iLife v55 Pro tidak terlalu bising

Boleh dikatakan iLive v55 Pro ini adalah pembersih hampagas yang paling senyap kami miliki pada masa ini. Maka ia membolehkan Tedi menggunakannya pada waktu malam. Kadangkala sebelum masuk tidur, Tedi akan hidupkannya.

Bunyinya tak bising, yang bising cuma apabila ia melanggar kerusi. Mungkin sensor iLife v55 Pro ini memiliki titik buta di mana ia gagal kesan kaki kerusi tersebut.

Apakah ukuran Tedi untuk menyatakan pembersih hampagas iLife v55 Pro ini tidak bising? Cukup apabila ia masuk ke dalam bilik, Tedi tertanya-tanya ia masih hidupkah atau sudah mati? Apa yang penting ialah kebisingannya tidak mengganggu jiran-jiran di rumah teres ini, dan jika masuk dalam bilik pun bunyinya dah sayup-sayup, Tedi rasa rumah sebelah takkan dapat mendengarnya.

Kecuali mungkin bunyi ia melanggar kerusi. 

 

Muat masuk ke bawah katil dan almari

Ciri-ciri ini pun amat berguna. Rupa-rupanya keleperan badannya memberikannya satu kelebihan, pembersih hampagas iLife ini mampu masuk ke bawah katil dan almari di rumah kami untuk melaksanakan tugasnya.

Banyak betul sampah dan debu yang ditemuinya di sana. Apatah lagi barang permainan yang dicampak Aina dan Aidan.

 

Ada saja habuk dikutip iLife v55 Pro

Berkesankah robot pembersih hampagas?

Inilah persoalan pertama yang berlegar di fikiran. Tetapi robot vacuum cleaner itu telah membuktikan dirinya. Selalu juga Tedi sapu lantai dahulu sebelum gunakan iLife V55 Pro ini, masih ada sahaja debu dan sampah yang dikautnya.

Bila dah guna baru kita tahu keberkesanannya. Jika diharapkan Tedi nak sapu selalu lantai tu memang tidaklah, tambahan pula selalunya kita nampak lantai tu bersih sahaja, tetapi rupa-rupanya masih ada banyak habuk dan sampah yang ada.

 

Musuh iLife v55 Pro

Benda yang membelit

Pictures of the iLife v55 Pro vacuum cleaner robot side brush that has been damaged is often due to being tangled with thread or rope. Aidan's fingers were also busy.
Gambar berus sisi robot pembersih hampagas iLife v55 Pro yang telah rosak selalunya kerana terbelit dengan benang atau tali. Kelihatan juga jari Aidan sedang menyibuk. # Monday, 19 July 2021, 00:22 # 20210719 # IMG_20210719_002224 # Xiaomi Redmi Note 5A #

Robot pembersih hampagas ini menggunakan berus sisi untuk menyapu sampah-sarap ke tengah sebelum disedut masuk ke dalam perutnya. Berus-berus sisi ini akan berpusing. Masalah akan timbul jika ia terbelit dengan benda seperti tali dan benang, kerana akan merosakkan berusnya.

Kerosakan paling teruk pada berus ialah ia akan patah. Berita baiknya ialah berus ini memang direka untuk digantikan. Setahun bersama iLife v55 Pro ini, kami telah gunakan 2 set berus sisi.

Selain terbelit dengan tali atau benang, benda lain seperti kain, kertas dan plastik pun akan terbelit juga tetapi selalunya bukan pada berus sisi tetapi pada roda vacuum cleaner iLife v55 Pro ini. Bagusnya rodanya direka boleh ditarik naik macam ada suspension, maka ada ruang untuk kita mencabut benda-benda yang terbelit tadi.

Air

Barang elektronik sudah tentulah musuhnya ialah air. iLife v55 Pro ini ada penderia yang boleh kesan takungan air tetapi dinasihatkan jangan gunakan di kawasan ada air bertakung takut-takut penderianya tak sempat kesan.

Tedi pun tak pernah cuba fungsi penderia air ni, gila apa nak cuba?

Budak-budak

Musuh juga ni. Sibuklah Aidan nak panjat atas iLife v55 Pro ini semasa ia bekerja. Nak jadikan kuda. Hal ini yang membuatkan Tedi menghidupkannya sebelum Tedi masuk tidur. Selepas budak-budak tidur baru iLife v55 Pro ini boleh bekerja dengan aman.

 

Jangan pasang berus pada sisi yang salah

Satu set berus sisi robot pembersih hampagas iLife v55 Pro ini ada 2 belah iaitu kiri (dilabelkan L) dan kanan (dilabelkan R). Pasanglah pada belah yang betul.

Pengalaman Tedi menggunakan berus pada belah yang salah ialah iLife v55 Pro akan sukar memanjat permaidani, kuasa sapuan yang berkurangan, dan berus sisi lebih mudah rosak.

 

Beli Alat Ganti iLife v55 Pro

Ini pun masalah juga. Mungkin lepas ini jika nak beli peralatan sebegini yang perlukan alat ganti, kita kena risik dahulu kesediaan dan harga alat gantinya di pasaran.

Setakat ini kami baru sekali sahaja beli alat ganti iLife v55 Pro iaitu berus sisi 5 pasang dan juga penapis HEPA. Kedua-duanya terpaksa dibeli dari negara China. Harganya mahal juga dan kualitinya mungkin tiruan (untuk yang kami beli).

Apa yang menyakitkan hati adalah sepatutnya kami terima 5 pasang berus sisi tetapi yang dihantarnya 8 berus sisi kiri, dan 2 berus sisi kanan. Ada pelanggan yang alami perkara yang sama dan kata okay (menurut komen di portal belian atas talian itu), mungkin sebab dia tak pernah kaji pun kenapa berus-berus itu ada label L dan R? Takkanlah saja-saja nak bezakan? Mestilah ada sebab. Kalau sama saja kedua-dua berus itu tak perlulah pencipta robot pembersih hampagas iLife v55 Pro tu letakkan label.

Tedi tinggalkan komen sahaja dan terima sahajalah apa yang dah sampai ni, malas nak bertekak.

Selain berus sisi, alat ganti yang lain adalah penapis HEPA, penapis berkualiti tinggi (jaring), dan kain lap lantai. Ada yang dijual dalam set, ada yang dijual berasingan. Boleh dibeli atas talian dan ambil masa seminggu atau lebih untuk sampai.

 

Kesimpulan

Jika kawan-kawan nak beli robot pembersih hampagas seperti iLife v55 Pro ini silakan, memang berbaloi. Tetapi mungkin sahaja boleh risik dan cari model lain atau jenama lain yang lebih canggih, mungkin pada harga lebih murah.

 


~20210719~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih