بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
KUALA LUMPUR: Malaysia menuntut semua bukti berkaitan tragedi pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine, tujuh tahun lalu didedahkan kepada umum.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, proses penghakiman kes berkenaan juga perlu dijalankan secara adil serta tidak dipengaruhi oleh sebarang tekanan politik bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Katanya, Malaysia sentiasa komited dan memberikan sokongan penuh dalam usaha mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Malaysia mengulangi pendirian bahawa pelaku yang tidak berperikemanusiaan perlu diheret ke muka pengadilan.
"Bukan hanya untuk menegakkan keadilan tetapi juga sekurang-kurangnya dapat memberi ketenangan kepada setiap ahli keluarga mangsa tragedi yang kehilangan insan tersayang," katanya.
Hari ini genap tujuh tahun MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Tragedi itu menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.
Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.
Warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, dituduh bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.
Peluru berpandu BUK yang digunakan mereka dipercayai dimiliki Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat tentera Russia yang berpangkalan di Kursk, terletak berhampiran sempadan Ukraine
Menurut kenyataan itu, Malaysia yakin dan berharap pandemik COVID-19 yang melanda dunia tidak menjadi penghalang kepada usaha menegakkan keadilan bagi membela mangsa tragedi penerbangan MH17.
"Doa kita semua sentiasa mengiringi pemergian mangsa dan mereka yang tersayang.
"Semoga ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa diberi kekuatan serta ketabahan sementara kami meneruskan usaha menuntut keadilan," katanya.
Saiful Haizan Hasam - Julai 17, 2021 @ 1:36pm
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/840397/malaysia-tuntut-bukti-tragedi-mh17-didedahkan
MH17 adalah tragedi kedua kapal terbang Malaysia selepas MH370 dan malangnya sampai sekarang kita masih buntu menjawab persoalan demi persoalan mengenai kedua-dua nahas ini. Nahas MH17 kita buntu kenapa kapal terbang itu ditembak jatuh manakala dalam nahas MH370 kita buntu mencari di manakah bangkai kapal terbang tersebut.
Apa-apa pun Tedi masih mengikuti berita kedua-duanya dan akan cuba berkongsi apa yang boleh.
~20210717~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.