بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Assalamu'alaikum semua. Semoga sihat walafiat.

Tikus, siapa yang tidak kenal tikus? Tak tahulah jika ada.

Tikus mungkin rapat dalam kehidupan kami sekeluarga sehinggakan ada label "tikus" khusus buat mereka dalam interpretZZ ini.

Kali ini Tedi mahu mengkaji apakah hubungan tikus dengan orang Melayu melalui kajian ke atas perkataan "tikus" dalam Bahasa Melayu sendiri. Tedi sudah baca sedikit tadi dan Tedi rasakan ia sangat indah dan harus dikongsi.

lukisan mudah seekor tikus dalam taman bunga - tikus dalam Bahasa Melayu

:: Kandungan ::
Maksud "tikus" dalam Bahasa Melayu | Tikus dalam ejaan Jawi | Tikus dalam Peribahasa Melayu | Tikus dalam Puisi Melayu | Rujukan


Maksud "tikus" dalam Bahasa Melayu

Ini adalah definisi atau maksud kepada beberapa perkataan yang diinspirasikan daripada tikus.

  • Kamus Dewan Edisi Keempat
    • tikus: sejenis binatang mengerip
      • tikus air / tikus lembah: Rattus muelleri 
      • tikus bandar / tikus mondok: Rattus norvegicus
      • tikus rumah: Rattus rattus
      • tikus sawah: Rattus argentiventer
    • akar tikus: sejenis tumbuhan (pokok meman­jat), akar hitam, akar kekala, Ventilago malaccensis
    • burung tikus: sejenis burung, Locustella lanceolata
    • dimakan tikus: [bahasa percakapan] diambil (dicuri) orang sedikit demi sedikit.
    • lang tikus: sejenis burung helang, lang (helang) sewah, Elanus c. caeruleus.
    • menikus: mendiamkan diri (tidak berkata-kata atau membantah kerana takut dan lain-lain).
    • rotan tikus: sejenis tumbuhan (pokok memanjat), rotan bini (diri), Flagellaria indica.
  • Kamus Pelajar Edisi Kedua
    • berbagai-bagai jenis binatang yang mengunggis.
      • tikus ambang bulan: Echinosorex gymnurus.
      • tikus babi: Hylomys suillus.
      • tikus belanda: binatang mengunggis yg rupanya seakan-akan rupa arnab tetapi lebih kecil, Cavia cobaya.
      • tikus hutan: Rattus rattus jalorensis.
      • tikus kecil: Rattus exulans.
      • tikus kesturi: Sorex spp.
      • tikus mondok: Rattus norvegicus.
      • tikus rumah: Rattus rattus diardii.
      • tikus tanah / tikus sawah: Rattus rattus argentiventer.
    • menikus: (kiasan) mendiamkan diri dan tidak berkata-kata atau tidak membantah kerana takut dan lain-lain.

Banyak juga rupanya tikus yang orang Melayu kenal. Hebat juga kerana mereka boleh kelaskan tikus-tikus tersebut.

 

Tikus dalam ejaan Jawi

[ta-ya-kaf-wau-sin]: تيکوس

 <top>

Tikus dalam Peribahasa Melayu

Senarai peribahasa Melayu yang ada melibatkan tikus ialah:

  1. awak tikus hendak menampar kepala kucing
  2. Bagai tikus membaiki labu / Seperti tikus membaiki labu
  3. Bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi
  4. Benci akan mencit seekor, rengkiang disunu
  5. ditebuk tikus / labu ditebuk tikus / labu dikerebuk tikus
  6. Kalau kucing tiada bermisai, takkan ditakuti tikus lagi
  7. Kasturi mati kerana baunya
  8. Kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi
  9. marahkan tikus, lengkiang dibakar / marahkan tikus rengkiang dibakar
  10. Menjalar melata pohon tembikai, sayang buah dimakan tikus
  11. paksa tekukur padi rebah, paksa tikus lengkiang terbuka
  12. Pasang pelita dilanggar tikus
  13. rumah ter­bakar, tikus habis keluar
  14. Rupa harimau hati tikus
  15. Seperti tikus jatuh di beras
  16. Seperti tikus jatuh ke beras
  17. Serta lalu kucing, tikus tidak berdecit lagi
  18. Tali di dalam bungkusan, digerek tikus apa gunanya

Awak tikus hendak menampar kepala kucing

  • maksud peribahasa:
    • Tidak berdaya mencapai sesuatu yang dicita-citakan atau diharap-harapkan.
    • Melakukan sesuatu yang mustahil.

Bagai tikus membaiki labu / Seperti tikus membaiki labu

Maksud peribahasa bagai tikus membaiki labu atau seperti tikus membaiki labu ialah orang yang mencuba mem­baiki sesuatu yang tidak diketahuinya, akhirnya merosakkannya.

Contoh ayat bagi peribahasa bagai tikus membaiki labu ialah: Master lebih suka memanggil tukang paip untuk membaiki masalah paip air di rumah kami berbanding membaikinya sendiri kerana tidak mahu jadi seperti tikus membaiki labu.

Bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi

  • Apabila orang yang ditakuti sudah tidak berkuasa lagi, maka orang-orang pun berleluasalah melakukan sekehendak hati.

Benci akan mencit seekor, rengkiang disunu

  • Maksud peribahasa: Sebab takut akan bahaya yang kecil keuntungan yang besar dibuangkan.
  • mencit = tikus;
  • rengkiang = tempat menyimpan padi, baluh, jelapang, kepuk, lumbung; kerengkiang. (Kamus Dewan Edisi Keempat);
  • sunu = bakar.

ditebuk tikus / labu ditebuk tikus / labu dikerebuk tikus

  • gadis yang sudah dinodai;

Kalau kucing tiada bermisai, takkan ditakuti tikus lagi

  • Orang besar yang sudah dipecat dari jabatannya tiada disegani orang lagi.

Kasturi mati kerana baunya

  • Mendapat kecelakaan kerana kelebihannya.
  • Peribahasa lain yang sama maksud:
    • Gajah mati kerana gadingnya
    • Harimau mati kerana belangnya
    • Mati kuang kerana bunyi
    • Mati rusa kerana jejak, mati kuau kerana bunyi.
    • Mati rusa kerana tanduknya.
  • kasturi = tikus kecil yang harum baunya.

Kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi

  • Apabila ada orang yang ditakuti, maka diamlah orang yang sedang berbuat bising.

marahkan tikus, lengkiang dibakar / marahkan tikus rengkiang dibakar

  • kerana sakit hati akan sesuatu yang kecil maka melakukan sesuatu yang mendatangkan kerugian besar;
  • Baca kiriman khusus bertajuk Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Menjalar melata pohon tembikai, sayang buah dimakan tikus

  • Maksud peribahasa: Indah dan gagah pada lahirnya saja tetapi batinnya tidak baik.
  • tembikai = buah semangka.

paksa tekukur padi rebah, paksa tikus lengkiang terbuka

  • sesuatu yang selalu dicita-citakan.

Pasang pelita dilanggar tikus

  • Kegembiraan hilang oleh kerana satu kejadian yang kecil.

rumah ter­bakar, tikus habis keluar

  • Maksud peribahasa:
    • apabila negeri ditim­pa sesuatu malapetaka, penduduknya daripada kalangan orang dagang (orang asing) pun keluarlah meninggal­kannya; 
    • Apabila terjadi sesuatu kesusahan di dalam negeri, maka isi negeri itu pun mengungsi ke tempat lain.
  • mengungsi = pergi menyelamatkan diri ke tempat yang aman.

Rupa harimau hati tikus

  • Rupa saja yang hebat dan garang, tetapi pengecut.

Seperti tikus jatuh di beras

  • suka dan senang sekali.

Seperti tikus jatuh ke beras

  • maksud peribahasa seperti tikus jatuh ke beras ialah: Orang yang mendapat kedudukan yang mewah.
  • Indeks:
    • seperti tikus jatuh ke beras {51}
    • maksud peribahasa seperti tikus jatuh ke beras {42}

Seperti tikus masuk roman

  • maksud peribahasa seperti tikus masuk roman ialah:
    • Orang yang berasa kecewa kerana tidak mendapat seperti yang diharapkannya.
    • Kecewa kerana tidak tercapai maksudnya.
  • Roman ialah sekam padi iaitu bekas tangkai-tangkai padi kering.
  • Pemahaman Tedi: Tikus mengharapkan beras tetapi kecewa apabila tempat dimasuki tiada beras tetapi cuma sekam padi.

Serta lalu kucing, tikus tidak berdecit lagi

  • Apabila orang yang ditakuti datang, diamlah orang yang membuat bising.

Tali di dalam bungkusan, digerek tikus apa gunanya:

  • Gadis dalam pingitan, telah melakukan perbuatan sumbang dengan diam-diam.

Wah, teleng kepala, berpinar mata membaca dan menyalin kesemua peribahasa berkaitan tikus ni. Semoga bermanfaat.

 <top>

Tikus dalam Puisi Melayu

 Tikus bukan sebarang tikus. Orang Melayu turut memasukkan makhluk ini dalam pantun-pantun mereka.

SumberPuisi
Kurik Kundi Merah SagaTikus mondok tikus tempang,
    Makan dia atas para;
Gadai golok gadai parang,
    Nak melepas rial belanja.

Kurik Kundi Merah SagaTikus mondok berbaju kemeja,
    Naik ke balai memetik kecapi;
Adik tunduk malukan siapa,
    Malu ke abang belum biasa lagi.

Kurik Kundi Merah SagaAnaklah tikus mati berenang,
    Mati berenang dalam perahu;
Kasihlah putus hati mengenang,
    Di dalam hati siapakan tahu.

Kurik Kundi Merah SagaAnak tikus matilah berenang,
    Mati berenang dalam perahu;
Manalah orang juak dikenang,
    Orang dikenang tiada tahu.

Kurik Kundi Merah SagaAnak tikus mandi berenang,
    Mandi berenang dalam perahu;
Rasa putus hati mengenang,
    Tuan dikenang tidak tahu.

Kurik Kundi Merah SagaMengail Kuala Tanjung,
    Ketam tidak berjari;
Kalau kucing pandai berdayung,
    Tikus juga pandai kemudi.

Kurik Kundi Merah SagaLimau purut dipancung putus,
    Diputus dengan hujung pedang;
Harimau mati dilanggar tikus,
    Buaya mati di tepi gudang.

Kurik Kundi Merah SagaLimau lelang bergugus-gugus,
    Taruh mari dalam dulang;
Harimau mati dipijak tikus,
    Buaya mati disepit udang.

Kurik Kundi Merah SagaPatah galah di hujung tanjung,
    Hendak belayar angin mati;
Kucing bergalah tikus berdayung,
    Mengapa ikan menghempas diri.

Kurik Kundi Merah SagaSarat bermuat dari seberang,
    Patah tiang kayu kelat;
Adakah kucing cintakan musang,
    Ayam terbang tikus melompat.

Kurik Kundi Merah SagaOrang mengail tepi beting,
    Putus joran tinggal pancing;
Adakah kain nak lawan gunting?
    Adakah tikus nak lawan kucing?

 


Rujukan

Kawan-kawan boleh melihat rujukan di bawah ini untuk maklumat lanjut.

  1. Carian Umum (dbp.gov.my)

~20210804-20210807~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih