ALOR SETAR: Ketika pemburuan tempat kedua Liga Super menjadi taruhan, faktor keletihan akibat jadual yang padat mula menjadi ‘musuh’ kepada pemain-pemain Kedah Darul Aman bagi menghadapi perlawanan seterusnya selepas ini.
Mengakui perkara itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bagaimanapun tidak mahu perkara tersebut dijadikan alasan untuk anak-anak buahnya bermain sambil lewa hingga menyebabkan keciciran mata.
Katanya selaku pemain profesional, anak-anak buahnya perlu bijak menjaga diri untuk tampil lebih segar dalam perlawanan seterusnya.
“Selepas beraksi lima perlawanan untuk tempoh yang singkat, keletihan sudah tentu membelenggu para pemain.
“Para pemain jelas kepenatan tetapi mereka tetap memberikan yang terbaik dan kami berjaya memperolehi tiga mata penuh seperti dimahukan. Kredit harus diberikan kepada mereka kerana ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Perak di Stadium Darul Aman di sini malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Kedah menewaskan Perak 1-0 hasil jaringan penyerang, Kpah Sherman pada minit ke-19.
Kedah kini mengharungi jadual cukup padat apabila mereka sudah pun melalui lima perlawanan hanya dalam tempoh 16 hari.
Keadaan itu terpaksa diharungi setelah beberapa perlawanan membabitkan pasukan tersebut, terpaksa ditangguh berikutan dua pemainnya didapati positif Covid-19 pada 23 Julai lalu.
Mengulas lanjut katanya, beliau selepas ini akan menilai semula keadaan anak-anak buahnya sebelum membuat keputusan siapa yang harus diturunkan ketika bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur pada 1 September depan.
“Mungkin ini masanya untuk kita merehatkan beberapa pemain dan menurunkan mereka yang masih ‘segar’. Insya-Allah, kita tengok keadaannya nanti,” katanya.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.