بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Kebelakangan ini gajet keluarga kami menghadapi masalah dengan sambungan WiFi, terutamanya di tingkat atas rumah kami.

Masalahnya ialah sama ada sambungan internet terputus, atau WiFi ada tetapi "no internet".

Master telah bertanya kepada pakcik Khairi seorang rakan penyokong Kedah Darul Aman FC yang memang bekerja dalam bidang rangkaian komputer.

Dia suruh Master restart router sama seperti apa yang Tedi tulis dalam Kenapa kena reboot router?.

Master kata jenuh dah asyik nak restart router tu.

Jadi pakcik Khairi mencadangkan agar beli router baru yang lebih canggih dan bijak, harga dalam RM 300. Erm, nantilah, hahaha.

Atau jika tak mahu beli, boleh minta TM tukar router yang digunakan sekarang ini kerana ia sudah terlalu lama.

Betul juga tu. Semasa Master bertanya kepada pak teh Judin, dia ada ajar bagaimana nak analisa WiFi di sekitar rumah untuk mencari channel (saluran) yang tidak sibuk. Ketika Master menganalisa WiFi tu dia perasan Unifi jiran-jiran banyak yang ada 5G, tidak macam WiFi kami cuma ada 2.4G sahaja.

Master pun maklumkan perkara yang sama kepada Mummy supaya Mumy boleh mengadu kepada TM.

Akhirnya pada hari Sabtu bertarikh 20210904 datanglah seorang pakcik dari Unifi untuk menggantikan router tersebut. Router yang lama tu cap Huawei tiada antena dan router yang baru ini cap AZ-Tech ada dua antena, nampak canggih sikit. Tetapi lama-kelamaan risau juga jika si Aidan patahkan antena tersebut.

Sepatutnya sebentar sahaja urusan ganti router tu tetapi pakcik Unifi itu hadapi masalah "no internet" pula. Rupa-rupanya kerana salah kata laluan PPPoE (kalau tidak silap Tedi). Dia terpaksa reset kata laluan itu.

Selain itu dia minta Master gantikan kabel LAN ke router itu katanya sudah nak rosak. Master tengok elok sahaja cuma dah nampak wayar dalam, maksudnya kulit kat luar tu dah tercabut.

Pakcik tu kata minimum kena gunakan kabel CAT6, kabel yang digunakan sekarang ialah CAT5E. Master pun dah lama tidak terjebak dalam bidang rangkaian komputer ni jadi dia pun sudah lupa. Padahal dulu pernah sahaja Master klip kabel CAT5 tu sendiri. Susun wayar-wayar halus tu dalam kepala dia kemudian klip.

Master sempat juga bertanyakan kata laluan dan nama pengguna untuk tukar setting router tersebut seperti dalam kisah Akses Residential Gateway Unifi. Master telah cuba, alamat IP masih sama cuma nama pengguna dan kata laluan dah berbeza, maklumlah jenama pun lain kan. Bagusnya kali ini kata laluan adalah berdasarkan kepada nombor siri router tersebut jadi ia adalah unik walaupun mungkin senang diteka.

Pakcik Unifi tu pun ada juga cuba menjual mesh WiFi kepada Master tetapi Master malas nak ambil tahu. Kalau perlu nanti boleh periksa dalam portal e-dagang apa produk yang ditawarkan.

Setakat ini kami telah menguji rangkaian WiFi 5G itu dari bilik di tingkat atas di mana Master bekerja dari rumah dan nampaknya prestasinya memuaskan walaupun isyaratnya lemah.

Gambar menunjukkan keputusan ujian kepantasan internet setelah tukar router Unifi 5G dari bilik di tingkat atas rumah kami yang sebelum ini selalu menghadapi masalah internet.

Kini kelajuan muat turun hampir mencecah 100 MBps dan kelajuan muat naik pula sekitar 50 MBps. Tiada alasan untuk Master terlepas mesyuarat atas talian selepas ini.


~20210904~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih