بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Setelah sekian lama tidak menaiki kapal terbang kerana wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, akhirnya kami menaiki kapal terbang AirAsia untuk pulang bercuti di Kelantan sempena cuti Tahun Baru Cina 2022.

Kandungan

 


Menaiki ERL dari Salak Tinggi ke KLIA2

Kami seperti kebiasaan ketika menaiki kapal terbang, sekali lagi meletakkan kereta di Stesen ERL Salak Tinggi sebelum menaiki ERL ke Stesen ERL KLIA2. Jaraknya dekat sahaja iaitu cuma 2 stesen. ERL akan berhenti di Stesen ERL KLIA dan kemudian Stesen ERL KLIA2. Jadi jangan terburu-buru keluar, sila pastikan nama stesen.

Kenapalah nama lapangan terbang KLIA dan klia2 ini menggunakan nama hampir sama?

Rasanya ia akan menyebabkan kekeliruan kepada para pelancong atau penumpang yang sedang kelam-kabut mengejar penerbangan mereka.

 


E-boarding

Setelah sekian lama tidak menaiki kapal terbang, kali ini Master menemui istilah baru iaitu e-boarding. Kononnya dengan menggunakan e-boarding ini kita tidak perlu print boarding pass.

Tetapi apabila nak memasuki Gate J untuk penerbangan domestik, kakitangan AirAsia yang berkawal di sana menimbang dan mengukur beg yang dibawa penumpang menyatakan kepada Master bahawa seorang penumpang perlu ada telefon pintar masing-masing untuk tunjukkan e-boarding itu.

Agak mengarut bagi Master yang terbang bersama anak-anak.

Akibatnya Master berlari mencari kiosk untuk mencetak boarding pass, tetapi mesin kios itu pula kata ada masalah untuk cetak boarding pass kami dan meminta kami pergi ke kaunter perkhidmatan.

Setelah bertanya kepada kakitangan yang membantu penumpang yang ada masalah dengan mesin kios, Master bergegas pula ke kaunter S 15. Di sana kakitangan itu meminta pula kad pengenalan semua penumpang, menyebabkan Master berlari pula kepada Mummy dan anak-anak.

Setelah Master bawakan semua kad pengenalan, alhamdulillah, kakitangan AirAsia itu tolong cetakkan boarding pass kami. Nasib baik cuma Master sahaja yang memerlukan bantuan ketika itu. Kalau ramai penumpang menunggu, tak tahulah.

 


Beg diukur dan ditimbang

Sebelum masuk ke pintu pelepasan J juga, beg akan diukur dan ditimbang untuk memastikan ia mematuhi ukuran dan berat beg yang dibawa ke dalam kabin.

Jadi jika tidak mahu pengalaman anda diselit dengan peristiwa kena tahan di tepi kerana saiz atau berat tidak betul, sila timbang dan pastikan beg anda mematuhi ukuran yang diberi.

Rasanya syarikat AirAsia takkan bertolak ansur kerana sebarang beg yang dinafikan masuk ke dalam kabin perlu didaftar masuk dengan bayaran tertentu.

 


Pengalaman pertama Aidan menaiki kapal terbang

Kalau tak silap ini adalah kali kedua Aidan menaiki kapal terbang. Kali pertama ketika dia masih bayi selepas Mummy habis berpantang di Kelantan.

Tetapi jika dari sudut pengalaman, ini adalah kali pertama Aidan mengalami perasaan menaiki kapal terbang. Semasa bayi tentunya dia pun tak sedar benda apa yang dinaiki.

Nampak macam Aidan tidak berapa teruja berbanding Aina. Jika Aina dahulu akan berada lama di tingkap untuk perhatikan deretan kapal terbang yang berhenti menurunkan dan mengambil penumpang.

 


Beg muntah sudah tidak disediakan

Perkara pertama yang Master risaukan ketika kapal terbang telah berlepas ialah Aina akan muntah.

Tetapi apabila Master memeriksa saku tempat duduk di depannya, tiada beg muntah disediakan, hanya kad maklumat penerbangan yang ditemui.

 


Senarai harga tambang teksi dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu

The picture shows the Taxi Fare List, Sultan Ismail Petra Airport Kota Bharu, Kelantan. Taxi fares from RM 45 to RM 241.
Gambar menunjukkan Senarai Tambang Teksi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, Kelantan. Harga tambang teksi dari RM 45 hingga RM 241.
# Sunday, 30 January 2022, 12:45 # IMG_20220130_124537.jpg # Xiaomi M2101K7BG #
 Salah satu perkara yang menarik perhatian Tedi semasa menunggu ketibaan Tok Abah dan Tok Ma menjemput kami ialah senarai harga tambang teksi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu. Patutlah ramai yang menaiki kapal terbang ke Kelantan, mungkin mereka mahu bercuti ke pulau-pulau di Terengganu kerana turut kelihatan tambang pekhidmatan teksi ke jeti Kuala Besut di Terengganu.

~20220130~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih