Tedi dan Master menonton perlawanan di antara Sarawak United FC dan Kedah Darul Aman FC ini melalui saluran YouTube Unifi TV menggunakan komputer riba dalam bilik atas belakang semasa temani Aina yang dikuarantin dalam bilik kerana dia positif Covid-19.

Walaupun Kedah menang namun persembahan Kedah sangat mengecewakan dan sebaliknya Sarawak yang menampilkan banyak percubaan bahaya namun gagal mendapatkan jaringan gol.

Apa-apa pun kita tetap menang dan diharamkan Kedah dapat perbaiki kelemakan yang ada.

.....

KUALA LUMPUR: Penampilan sulung Sarawak United FC dalam saingan Liga Super musim ini berakhir dengan kepedihan apabila tewas 1-0 kepada naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.

Keputusan itu jelas menunjukkan banyak kerja yang perlu dilakukan pengendali skuad The Crocs, B Satiananthan bagi memastikan mereka tidak lagi keciciran mata dalam aksi berikutnya.

Apapun, Sarawak tetap menunjukkan aksi yang positif dengan tentangan yang diberikan kepada skuad Kenari, cuma kurang tajam di hadapan gol lawan memaksa mereka berputih mata di laman sendiri.

Skuad The Crocs nampak lebih mengancam di permulaan permainan apabila menghantar amaran awal menerusi sepakan percuma Lee Chang Hoon pada minit ketiga yang terpaksa ditepis Shahril Sa'ari.

Kedah secara perlahan-lahan kembali mendapatkan rentak untuk menyusun permainan yang lebih kemas dan hasilnya menyaksikan mereka berjaya mendahului pada minit ke-15.

Berpunca daripada tandukan Jang Suk Won yang terkena tiang selepas sepakan percuma, bola melantun ke tengah dan mudah disudahkan Ronald Ngah yang tidak menunggu lama untuk membuka akaun golnya bersama Kedah.

Francis Kone memiliki tiga peluang untuk menyamakan kedudukan buat Sawarak terutamanya pada minit ke-35 namun percubannya meleret keluar sekalipun Shahril sudahpun meluru keluar daripada kawasannya.

Bersambung babak kedua, Sarawak terus dikecewakan ketumpulan penyudah yang menyaksikan peluang menerusi Chang Hoon (minit 52) dan Christie Jayaseelan (minit 54) tidak cukup untuk merobek gawang pelawat.

Kedah cuba membalas menerusi percubaan Fadzrul Danel Mohd Nizam yang tersasar pada minit ke-56 sebelum Sharbinee memastikan Sarawak tidak ketinggalan jauh apabila menyelamatkan tandukan Ngah tiga minit berselang.

Sarawak beroleh satu lagi peluang terbaik menerusi Uche Agba pada minit ke-73 dan meskipun berjaya mengelirukan Shahril namun tolakannya ke arah pintu gol ditutup pertahanan KDA.

Hanya palang menjadi pemisah buat Sarawak daripada mengutip satu mata apabila percubaan Boris Kok menggegar palang pada minit akhir namun tiga mata sememangnya sudah tertulis buat Kedah pada malam ini.

Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
March 4, 2022 @ 10:32pm