بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
Nampaknya pengalaman semasa Terbang balik Kota Bharu dengan AirAsia melalui KLIA2 telah memberi ilmu baru kepada Master berkenaan masalah daftar masuk AirAsia sehinggakan Master menjadi rujukan kawan untuk cara check in AirAsia (perhatian bahawa AirAsia tidak dieja sebaga Air Asia tetapi memang disebut Air Asia).
Gambar boarding pass AirAsia yang dicetak daripada mesin kios AirAsia yang kami gunakan untuk menaiki kapal terbang AirAsia penerbangan AK6448 ke Kota Bharu dari KLIA2. Pada boarding pass dicetak maklumat seperti nombor tempat duduk, nombor pintu berlepas (gate), juga ingatan bahawa pintu balai berlepas akan ditutup 20 minit sebelum kapal terbang berlepas.
# Sunday, 30 January 2022, 10:27 # IMG_20220130_102741 # 20220130 # Xiaomi M2003J15SC # KLIA2 #
Sebagai rumusan, Tedi akan ringkaskan secara pendek apa perlu dibuat jika kita nak naik kapal terbang menggunakan penerbangan AirAsia.
- beli tiket
- web check in
- cetak boarding pass dan bag tag
- daftar masuk bagasi (jika ada)
- melepasi pemeriksaan keselamatan
- tunggu di balai berlepas
- naik kapal terbang
Web Check-In AirAsia
Web check in boleh kita mula lakukan 2 minggu sebelum naik kapal terbang. Web check in adalah sama ada melalui laman web AirAsia atau menggunakan super app AirAsia yang tidak berapa super.
Lebih baik kita awal-awal web check in sebab pada masa ini kita akan diberikan tempat duduk. Jika kita seorang diri tiada masalah nak dapat tempat duduk mana tetapi jika bersama keluarga kita akan dapat tempat duduk berpisah jauh-jauh jika lambat web check in memandangkan orang lain sudah dapat tempat duduk tersebut.
Lebih baik web check in menggunakan laman web AirAsia berbanding menggunakan super app AirAsia kerana Master pernah kena sampai ke sudah butang check in tidak keluar pada itinerary beliau, tetapi apabila diperiksa dalam laman web, memang sudah boleh check in.
Cetak Boarding Pass dan Bag Tag
Pada hari kita nak naik kapal terbang AirAsia tu kita boleh melepasi pemeriksaan sama ada menggunakan Boarding e-Pass atau Boarding Pass.
Boarding e-Pass ni ada dalam super app AirAsia, kita perlu tunjukkan kepada pegawai yang bertugas. Tetapi kakitangan AirAsia yang kami tanya mengatakan bahawa setiap orang perlu ada telefon masing-masing untuk tunjukkan e-Pass.
Alternatif lain ialah cetak boarding pass sama ada di kiosk atau di kaunter (AirAsia akan kenakan bayaran jika dilakukan di kaunter).
Cara cetak di kiosk ialah anda perlu imbas QR code pada boarding e-Pass. Kod QR ini disembunyikan jadi anda perlu klik dulu untuk nampak QR code tersebut. Di atasnya ada bar code yang tidak disembunyikan, jangan imbas bar code ini, imbas QR code. Jika tidak berjaya imbas QR code tersebut, cuba cerahkan skrin telefon pintar anda kerana berkemungkinan kios tak dapat baca jika skrin telefon anda gelap. Cuba juga tukarkan daripada dark mode kepada light mode jika anda gunakan dark mode.
Kios akan cetak boarding pass dan jika anda ada beli bag check-in, kios akan cetak bag tag. Jika anda ada banyak beg atas satu nama, imbas Qr code boarding e-pass anda beberapa kali.
Anda perlu cetak boarding pass untuk semua penumpang bersama anda.
Daftar Masuk Bagasi
Jika anda ada beli bag check-in selepas cetak bag tag anda perlu cari di mana kaunter untuk daftar masuk beg tersebut. Pastikan berat beg anda adalah mengikut berat yang anda beli, jika lebih anda akan ada masalah untuk daftar masuk beg tersebut.
Selepas jumpa kaunter, pasang bag tag pada beg-beg berkenaan, dan cabut satu salinan sticker pada bag tag dan lekatkan pada boarding pass anda untuk rujukan.
Daftar masuk bagasi adalah layan diri, anda kena letakkan beg atas belt, imbas boarding pass, imbas bag tag dan tekan butang okay untuk masukkan beg tersebut. Satu proses satu beg, jadi ulangi proses tersebut mengikut bilangan beg anda.
Melepasi Pemeriksaan Keselamatan
Kemudian anda kena cari di mana balai berlepas sama ada untuk domestik atau antarabangsa.
Tunjukkan dokumen pengenalan diri dan boarding pass untuk semua penumpang.
Nanti anda akan melalui pemeriksaan keselamatan di mana semua beg dan penumpang diimbas. Pastikan tali pinggang dibuka, dan poket dikosongkan daripada wallet dan telefon, serta buka jam tangan. Kesemua barang itu dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan, tetapi Master lebih suka masukkan ke dalam beg sendiri siap-siap.
Pastikan seluar anda tidak longgar atau anda akan mengalami risiko seluar terlondeh semasa pemeriksaan keselamatan ini.
Tunggu di Balai Berlepas
Pastikan anda tahu di mana balai berlepas anda, selalunya ada dipaparkan pada skrin skrin di sekitar lapangan terbang. Jika di KLIA atau KLIA2 anda kena berkejar ke Balai Berlepas kerana ada kemungkinan balai berlepas anda terletak nun jauh di hujung sana.
Jika anda adalah veteran jangan segan untuk tanya kereta buggy penumpang untuk bawa anda ke balai berlepas.
Berhampiran balai berlepas ada disediakan surau dan tandas, tetapi tengok nasib kadangkala tidaklah dekat sangat, cuma nak cerita, ada tandas dan surau, kedai pun ada.
Di balai berlepas sediakan dokumen pengenalan diri dan boarding pass untuk diperiksa sebelum menaiki kapal terbang.
Pastikan anda di balai berlepas yang betul kerana ada banyak balai berlepas.
Jika anda ada baby stroller atau kerusi roda (wheelchair), boleh dibawa hingga ke pintu kapal terbang, nanti ada staff AirAsia akan simpankan baby stroller atau wheelchair anda, cuma perlu dilekatkan tag pada stroller atau wheelchair anda. Pengalaman kami bawa stroller naik kapal terbang dulu tag itu diberikan oleh kakitangan di balai berlepas tetapi pada masa sekarang mungkin lebih baik tanya awal-awal di mana boleh dapatkan tag untuk stroller? Adakah sama dengan bag tag?
Okay itu sahaja yang Tedi rasa perlu dikongsikan semoga ada manfaat untuk anda semua.
~ Mula dirangka pada hari Sabtu 20220319 kiriman ini adalah catatan peribadi mengenai masalah check in Air Asia supaya menjadi rujukan pada masa hadapan ~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.