بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Peribahasa yang melibatkan kera turut melibatkan haiwan sejenis dengannya seperti kungkang dan lotong.

Lotong

Lotong ada banyak definisi mengikut kamus tetapi definisi yang berkaitan dengan peribahasa tentang kera ialah:

  1. sejenis kera yang berekor panjang  (Kamus Dewan Edisi Keempat);
    1. lotong Bangkatan, Nasalis larvatus;
    2. lotong ceneka, Presbytis melalophos;
    3. lotong cengkung atau lotong ber­celak, Presbytis obscura;
    4. lotong kelabu, Presbytis cristata;
  2. beberapa jenis kera yang berekor panjang, Presbytis spp.. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
    1. lotong hitam: Presbytis melalophos.
    2. lotong kelabu: Presbytis cristata.
    3. lotong mata putih: Presbytis obscura.

Kungkang / kongkang

Pelik, tiada maksud untuk kungkang dalam kamus Bahasa Melayu, tetapi yang ada ialah kongkang.

  1. sejenis kera kecil yang tidak berekor dalam famili Lorisidae, Nycticebus coucang. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
  2. nama sejenis binatang seperti kera kecil yang tidak berekor, Loris tardigradus. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Senarai peribahasa yang melibatkan kera dan yang sejenis dengannya ialah:


Agih-agih kungkang

Terlampau murah hati atau suka memberi, hingga menderita kesusahan sendiri.

kungkang = kera kecil.

Anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui

Urusan sendiri ditinggalkan kerana mementingkan urusan orang lain.

Peribahasa lain yang sama makna:
a. Anak di pangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan,
b. Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran,
c. Anak monyet di hutan disusui, anak sendiri di rumah kekeringan,
d. Laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan.

Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran

Urusan sendiri ditinggalkan kerana mementingkan urusan orang lain.

Peribahasa lain yang sama makna:
a. Anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan,
b. Anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui,
c. Anak monyet di hutan disusui, anak sendiri di rumah kekeringan,
d. Laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan.

Anak kera hendak diajar memanjat

Hendak mengajar orang yang sudah ahli.

Bagi Tedi maksud peribahasa ini ialah melakukan perbuatan yang sia-sia kerana tak perlu ajar seseorang yang sudah pandai atau pakar dalam melakukan sesuatu. Mungkin juga boleh digunakan untuk pulangkan paku buah keras kepada seseorang yang pandai-pandai mengajar kita melakukan kerja kita (tapi kalau guna peribahasa ini merujuk kepada diri kita takut kita diejek anak kera pula huhuhu).

<top>

Bagai kera diberi kaca

Mendapat sesuatu yang tak dapat dipergunakan.

Peribahasa lain yang sama makna: Kera dapat bunga

Bertukar beruk dengan cigak, mengimbuh dengan kera

Yang lama sama dengan yang baru.

cigak = kera
imbuh = tambahan.

<top>

Kera kena belacan

Sangat gelisah.

Kera dapat bunga

Mendapat sesuatu yang tak dapat dipergunakan.

Peribahasa lain yang sama makna: Bagai kera diberi kaca.

Kera memanjat pohon, kura-kura pun hendak memanjat pula

Hendak meniru-niru membuat pekerjaan yang mustahil dapat dilakukan olehnya.

Kera menegurkan tahinya

Barang siapa yang berbuat salah, ialah yang mula-mula memperkatakan kesalahan itu.

Kera menjadi monyet

Tiada bezanya.

<top>

Kerana lotong terlalu makan, tupai dijulai timpa perasaan

Orang besar-besar yang bersuka-ria, orang kecil-kecil yang gembira berlebih-lebihan.

lotong = kera hitam.

Macam kera kelaparan

Orang tua yang bibirnya selalu berkomat-kamit.

Nota: komat-kamit juga dieja kumat-kamit.

Memberi barang kepada kera

  1. Mempercayai orang yang tiada patut dipercayai.
  2. Memberikan tanggungjawab kepada orang yang tidak patut dipercayai.

Gajah memamah aris, baik diikat kera kecil yang memakan buah kayu

Daripada mengharapkan sesuatu yang besar yang tak mungkin didapati, lebih baik terima saja yang sedikit yang sudah ada di dalam tangan.

aris = getah kayu yang sudah beku.

Memberi bunga kepada kera (monyet).

Memberikan sesuatu kepada orang yang tidak tahu menggunakannya.

<top>

Sebagai kera dapat canggung

Merapatkan dirinya kepada orang yang telah menolongnya.

Sebagai kera mendapat pisang

Sangat gembira.

Seperti kera sumbang

Takut hendak bercampur dengan orang.

sumbang = salah.

Seutas rotan ditarik, bergegar hutan belukar; riuh bunyi kera dan lotong

Jika seseorang anggota keluarga mendapat aniaya maka marahlah sekalian kaum keluarganya dan sekalian sahabat handainya.

<top>

Tanah lembab kandungan air, kayu bengkok titian kera

Tiap-tiap suatu sebab itu akan diikuti oleh sebab yang lain.

Tanah lembah kandungan air, kayu bengkok titian kera

Tiap-tiap suatu sebab itu akan diikuti oleh sebab yang lain.


Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu


~20230508~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih