بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Ada baberapa peribahasa tentang masa seperti ada masa, masa kini, masa makmur, masa banyak, masa sikit, masa baik, masa sempit, masa kecil, masa besar, dan masa berkabung. Metafora masa yang selalu digunakan dalam peribahasa tentang masa ialah bulan terang, pagi, petang, rebung, dan buluh.


[Kandungan: Peribahasa Masa]


Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas.

  1. Maksud peribahasa: Perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga.
  2. Peribahasa lain yang sama makna: Ada hujan ada panas, ada masa boleh balas.

Ada hujan ada panas, ada masa boleh balas.

  1. Maksud peribahasa: Perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga.
  2. Peribahasa lain yang sama makna: Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas.

[Kandungan: Peribahasa Masa]


Adat memakai, syarak mengata

Maksud peribahasa: Adat yang tidak sesuai dengan hukum Tuhan dan tidak selaras dengan keadaan masa tidaklah guna dipertahankan, kerana adat harus takluk kepada hukum syarak.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Adat yang menurun, syarak yang mendaki

  1. Maksud peribahasa: Adat dapat menuju kerendahan dan tidak sanggup menghadapi pergolakan masa, tetapi syarak menuju ketinggian dan dapat mengatasi segala gerakan yang menentangnya.
  2. Bandingkan dengan: Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah.

Bulan terang paksa baik; payang ke laut, balok pun ke laut juga.

  1. Maksud peribahasa: Dalam masa kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari keuntungan.
  2. balok: batang kayu yang telah ditarah. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
  3. payang: perahu payang, sejenis perahu nelayan (untuk menarik pukat). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Cermat masa banyak, jimat masa sedikit

  1. Maksud peribahasa: 
    1. Selalu berhati-hati dalam membelanjakan sesuatu.
    2. Selalu berhati-hati dalam menggunakan sesuatu.

Hari baik dibuang-buang, hari buruk dikejar-kejar.

Masa yang baik dibiarkan lalu, kemudian tergopoh-gopoh mengejar waktu yang sudah sempit.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Hari pagi dibuang-buang, hari petang dikejar-kejar

Masa yang baik dibiarkan lalu, kemudian tergopoh-gopoh mengejar waktu yang sudah sempit.

Hari baik dan hari pagi yang digunakan dalam peribahasa ini adalah bayangan kepada masa lapang.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

Maksud peribahasa: Orang miskin yang harus bekerja setiap masa.

Kecil anak besar onak

Maksud peribahasa: Anak pada masa kecilnya menyukakan hati tetapi apabila sudah besar keraplah pula ia mendatangkan kesusahan kepada ibu bapanya.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Kecil-kecil anak sudah besar menjadi onak

  1. Maksud peribahasa: Anak pada masa kecilnya menyukakan hati tetapi apabila sudah besar keraplah pula ia mendatangkan kesusahan kepada ibu bapanya.
  2. Peribahasa lain yang sama makna: Kecil anak besar onak.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Kering pengayuh di tangan, kering wang di pinggang

  1. Maksud peribahasa: Orang miskin yang harus bekerja setiap masa.
  2. Peribahasa lain yang sama makna: Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur.

  1. Maksud peribahasa: Masa kecillah diajar dan dididik, jangan ditunggu sampai sudah besar.
  2. Peribahasa lain yang sama makna: Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari.
  3. Lihat juga: Melentur biarlah waktu rebung.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Melentur biarlah waktu rebung

  1. Maksud peribahasa: Mengajar anak-anak biarlah selagi kecil, apabila telah besar, keraslah hatinya dan tidak dapat diajar lagi.
  2. Bandingkan dengan: Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari.
  3. Lihat juga: Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari

  1. Maksud peribahasa: Masa kecillah diajar dan dididik, jangan ditunggu sampai sudah besar.
  2. Peribahasa lain yang sama makna:
    1. Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur,
    2. Melentur biarlah waktu rebung.

[Kandungan: Peribahasa Masa]

Tertawa dalam perkabungan

Ahli waris yang bersenang hati dalam masa berkabung kerana akan mendapat harta pusaka.

[Kandungan: Peribahasa Masa]


Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu


~20230712~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih