بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
Kiriman ini adalah berkenaan contoh peribahasa kasih sayang.
Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang
Maksud peribahasa: Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan.
Ada wang abang saya, tak ada wang abang payah
Maksud peribahasa: Kasih sayang hanya kerana memandang harta benda.
Ada wang abang sayang, tak ada wang abang melayang
Maksud peribahasa: Kasih sayang hanya kerana memandang harta benda.
(Peribahasa lain yang sama makna: Ada wang abang saya, tak ada wang abang payah).
Bagai emak mandul baru beranak
- Maksud peribahasa:
- Girang yang amat sangat;
- Kasih sayang yang terlalu amat.
Bagai menjaga permata intan ketika dicanai
Maksud peribahasa: Kasih sayang yang tidak ada taranya.
Peribahasa ini boleh digunakan sebagai peribahasa kasih sayang ibu, peribahasa kasih sayang ibu bapa terhadap anak, juga peribahasa kasih sayang keluarga. Rujuk: [t23f19] Peribahasa Ibu Bapa, [T21H30] Peribahasa Keluarga untuk lebih banyak contoh peribahasa.
Bagai sayang kaki pada terompah
- Maksud peribahasa:
- Kasih sayang yang boleh ditinggal-tinggalkan,
- Sesuatu yang digunakan pada waktu perlu saja.
Hidung dicium, pipi digigit
- Maksud peribahasa:
- Kasih sayang yang pura-pura saja;
- menyembunyikan perbuatan jahat dengan perbuatan baik.
Merajuk kepada yang kasih. Manja kepada yang sayang, berkaul kepada yang keramat
- Maksud peribahasa: Berbuat sesuatu hendaklah sesuai dengan tempat dan keadaannya, supaya perbuatan itu berhasil dengan baik.
- Peribahasa lain yang sama makna: Berkaul kepada [= ke tempat] keramat.
Seperti embun di hujung rumput
Maksud peribahasa: Kasih sayang yang lekas hilang.
Seperti labah-labah cinta kepada telurnya / Seperti labah-labah kasih sayang kepada telurnya
Maksud peribahasa: Kasih sayang yang tak dapat dipisahkan.
Umpama bunga, sedap dipakai, layu dibuang
Maksud peribahasa: Kasih sayang sementara disukai, sudah bosan lalu dibuang.
~20240117~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.