بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih berteka-teki mengenai jumlah keseluruhan pemain importnya bagi menghadapi saingan yang dijangka mencabar dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2024/2025 ini.

Selepas dua minggu memulakan latihan, penantian utama sudah pasti terarah kepada jumlah keseluruhan pemain import yang akan digunakan Sang Kenari selepas mengumumkan dua pemain import iaitu Sukhrob Nurulloev dari Uzbekistan dan yang terkini bekas pemain Terengganu FC (TFC), Sony Norde.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, baki kesemua import sudah dipastikan bersama pasukan pada musim ini, dan kini hanya menunggu masa untuk tiba dalam tempoh terdekat ini.

"Mengenai baki pemain-pemain import pasukan, selepas ini akan ada lagi pemain-pemain lain selain Nurullaev dan Sony Norde yang telah diumumkan menyertai pasukan.

"Ini termasuk beberapa pemain import di posisi lain seperti antaranya di bahagian pertahanan, dan serangan yang akan datang dalam masa terdekat.

"Mengenai jumlah keseluruhan import pada musim ini pula kami belum mengumumkan jumlah keseluruhannya dan kita lihatlah nanti keadaannya kerana jika saya kata lima, mungkin boleh jadi enam, atau tujuh," katanya.

Nafuzi juga memaklumkan setiap perancangan yang diatur pihak pengurusan Sang Kenari kini adalah berdasarkan kemampuan semasa kewangan pasukan.

"Tengok keadaan kemampuan kita dan yang penting pada musim ini kita akan berbelanja berdasarkan kemampuan kelab dan kita akui yang bajet kita pada musim ini memang kurang dari musim lalu secara keseluruhan.

"Kita berbelanja mengikut kemampuan kelab dan mengamalkan penjimatan umpama mengukur baju di badan sendiri.

"Namun di sebalik semua perancangan yang sedang dan akan dilakukan, KDA FC tetap mahu membentuk pasukan yang dapat memberi saingan yang pada tahap yang terbaik pada musim ini," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, pemilik KDA FC Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar bakal mengadakan satu sidang media berkaitan status semasa dan perancangan kelab Sang Kenari yang akan berlangsung di pejabat KDA FC pada pukul 10.30 pagi esok.


Sumber:

Jumlah pemain import KDA FC masih jadi tanda tanya (hmetro.com.my)


~20240324~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih